Mangsa banjir di Terengganu kini 19,601 orang

Anggota bomba memindahkan mangsa banjir yang mengalami lumpuh ke PPS setelah rumahnya di Kampung Dadong, Air Putih di Kemaman dinaiki air.
Anggota bomba memindahkan mangsa banjir yang mengalami lumpuh ke PPS setelah rumahnya di Kampung Dadong, Air Putih di Kemaman dinaiki air.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dengan seramai 19,601 mangsa dipindahkan ke 243 buah pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lapan daerah di negeri itu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Hulu Terengganu merekodkan jumlah tertinggi mangsa banjir dengan seramai 5,726 mangsa dipindahkan 50 buah PPS sehingga jam 4 petang pada Isnin.

Daerah Besut pula menjadi daerah kedua tertinggi dengan merekodkan seramai 5,067 mangsa banjir diikuti Kemaman (3,565), Setiu (3,172), Dungun (1,083), Kuala Terengganu (382), Marang (304) dan Kuala Nerus (302).

Jelas kenyataan itu, situasi semasa cuaca kini hujan lebat di kebanyakan kawasan di negeri berkenaan.

Sementara itu, menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemaskini jam 4 petang, 13 sungai di Terengganu melebihi tahap bahaya.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun; Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman; Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.

Turut merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya ialah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang; Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu; Sungai Terengganu di Muzium Terengganu di Kuala Terengganu; Sungai Besut di Jambatan Jertih, Besut; Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Tumpat di Kampung Kemasik, Kemaman dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu.

Sementara itu, Sungai Nerus di Kampung Jeram di Kuala Nerus melebihi tahap amaran.

Artikel Berkaitan: