Tragedi tanah runtuh: Operasi fokus sektor C dan A

Hafisham (kiri) dalam sidang akhbar perkembangan terkini tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Isnin.
Hafisham (kiri) dalam sidang akhbar perkembangan terkini tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Isnin.
A
A
A

BATANG KALI - Operasi hari keempat mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting pada Isnin akan memfokuskan sektor C dan A.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, operasi disambung semula pada jam 8 pagi.

"Kita tumpu kepada tempat yang berkemungkinan besar boleh temui mangsa iaitu sektor C dan A dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9 dan jentera pengorek (excavator).

"Cabaran hari ini adalah tanah lembut dan lecak akibat hujan pada Ahad," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pegawai keselamatan juga telah ditempatkan untuk sebarang risiko gelinciran tanah.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), risiko gelinciran tanah adalah rendah.

"Mengikut rekod, ketinggian tanah asal dan tanah runtuhan adalah kira-kira 16 meter. Operasi mengorek tanah akan dilakukan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri tertimbus," ujarnya.

Tambah Hafisham, pihaknya berharap operasi hari ini akan membuahkan penemuan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap usaha hari ini membuahkan hasil. Rasa sedikit terkilan dan kecewa kerana seharian operasi semalam (Ahad) tidak menemui mangsa. Diharap hari ini dapat temui baki mangsa yang hilang," jelasnya.