PH, BN dulu seteru kini satu blok dalam Parlimen

Kedudukan ahli Parlimen blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Kedudukan ahli Parlimen blok kerajaan di Dewan Rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasca Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) menyaksikan banyak kejutan berlaku dalam landskap politik tanah air sehingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirainya pada Isnin juga turut melakar sejarah tersendiri apabila kedudukan ahli Dewan Rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini berada sebaris dalam satu blok.

Perubahan tempat duduk ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan parti yang pernah menjadi seteru sejak sekian lama itu berlaku susulan terjalinnya kerjasama untuk membentuk kerajaan baharu.

Benarlah bagai dikata, tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang setia dalam politik, sebaliknya yang ada hanyalah rundingan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Pengerusi BN merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini duduk sebelah menyebelah di blok kerajaan.

Sejarah baharu juga terukir apabila BN yang sebelum ini lantang menolak DAP, tetapi kali ini duduk sebaris dengan ahli Dewan Rakyat daripada parti tersebut.

Selain PH dan BN, kerajaan baharu itu turut dianggotai tiga lagi gabungan politik utama iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Persidangan yang membuka tirainya hari ini juga bakal menjadi ujian pertama keutuhan Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah antara paling menarik perhatian dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari itu.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar itu menduduki turutan kelapan urusan persidangan.

Usul itu bertujuan membuktikan Anwar mendapat sokongan majoriti susulan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Anwar sebelum ini telah menyatakan keyakinan beliau untuk mendapat dua pertiga undi percaya berkenaan.

Dengan jumlah 144 wakil rakyat daripada lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan, ditambah sokongan empat ahli Parlimen Bersatu yang keluar parti serta sokongan calon Bebas, Anwar dilihat boleh melepasi undi percaya itu dengan mudah.

Perkara lain yang turut menjadi tumpuan pada mesyuarat hari ini ialah pemilihan Speaker Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengosongkan jawatan itu berkuat kuasa tengah malam 18 Disember.