MB Johor bawa cadangan penduduk Pengerang dalam mesyuarat Exco

Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI- Kerajaan negeri akan membawa setiap cadangan penduduk kampung berdekatan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di sini, terutamanya yang terjejas dengan letupan dan kebakaran di persekitaran kompleks berkenaan baru-baru ini, ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata kerajaan negeri mengambil maklum akan semua kebimbangan dan cadangan penduduk yang terkesan dengan insiden itu termasuk yang menyuarakan hasrat untuk berpindah.

"Tentang apa-apa isu, sama ada yang soal pemindahan, semua kita akan bawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan nanti kita akan berbincang juga dengan Petronas dan pihak berkaitan, apa penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” kata beliau ketika berucap di Masjid Kampung Lepau di sini lewat petang tadi.

Dr Sahruddin juga berkata kerajaan negeri akan cuba membantu mereka yang terjejas sebaik mungkin dan berharap agar mereka dapat bersabar.

Beliau juga mengharapkan agar pihak Petronas sentiasa mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi penduduk yang tinggal berhampiran dengan projek PIC berkenaan.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira 1 kilometer dari projek berkenaan adalah antara mereka yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran di kompleks berkenaan, Jumaat lepas (12 Mac).

Ada antara penduduk kampung itu yang rumah mereka mengalami kerosakan akibat letupan berkenaan termasuk keretakan siling dan dinding rumah serta pintu kaca pecah.

Kampung itu mempunyai 67 rumah dan lebih 100 penduduk.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis berkenaan, Dr Sahruddin menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan seharian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Petronas kepada penduduk kampung berkenaan yang terjejas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung.- Bernama