Hutan 'penyelamat' kejadian tanah runtuh - Majlis Hutan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
MONTREAL (Canada) - Perancangan mampan harus dilakukan untuk projek pembangunan terutamanya di kawasan tanah tinggi bagi memastikan kitaran air dan litupan hutan dilindungi daripada tanah runtuh, kata Pengarah Urusan Antarabangsa Majlis Pengawasan Hutan (FSC), Kim Carstensen.

Beliau berkata, kebanyakan aktiviti berkaitan pembangunan ekonomi iaitu pertanian, pembalakan dan ekopelancongan telah membawa kepada perubahan guna tanah dan penutupan tanah serta kehilangan pokok

"Litupan hutan, termasuk musim penanaman tumbuh-tumbuhan adalah sangat penting untuk melindungi daripada kejadian tanah runtuh sekiranya berlaku hujan.



"Oleh kerana pembangunan kita telah melihat banyak penebangan hutan atau penukaran hutan daripada dilitupi pokok kepada tanah pertanian yang menyebabkan sebahagian daripadanya tidak dilindungi.

"Ini telah membawa risiko tanah runtuh dan oleh itu, menjejaskan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Biodiversiti Pihak-pihak (COP15) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berlangsung di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai kebarangkalian tanah runtuh di kawasan tanah tinggi akibat pembangunan tidak terancang dan penebangan hutan.

"Sebelum bermula satu pembangunan, adalah penting untuk mengkaji kecuraman cerun, jenis tanah dan kitaran air di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemuliharaan WWF Malaysia, Dr Henry Chan berkata, kerajaan perlu memperkukuh Rancangan Fizikal Negara keempat (RFN) khususnya mengenai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) untuk pembangunan mampan tanpa menyebabkan kehilangan biodiversiti.

Menurutnya, sebarang pembangunan perlu mematuhi KSAS, yang terdiri daripada peringkat satu, dua dan tiga.

"Peringkat satu tidak memerlukan pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan; peringkat dua tiada pembangunan atau pertanian tapi pembalakan lestari dan pelancongan alam semula jadi berimpak rendah boleh dibenarkan tertakluk kepada kekangan tempatan.
Artikel Berkaitan:


"KSAS peringkat tiga - pembangunan terkawal dengan jenis dan keamatan hendaklah dikawal ketat bergantung pada sifat kekangan.

"Sila rujuk pakar geologi sekiranya terdapat sebarang pembangunan yang perlu dilakukan di kawasan itu supaya tiada lagi kejadian (tanah runtuh) berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting bagi kawasan pergunungan mempunyai hutan sebagai pelindung aliran air semasa musim tengkujuh.

"Hutan boleh mengekalkan lebihan air hujan, mengelakkan aliran air terlampau kuat dan mengurangkan kerosakan akibat banjir. Ia juga boleh membantu mengurangkan kesan kemarau.

"Jika hutan rosak, banjir kilat dan tanah runtuh akan berlaku,” katanya.

Pemandangan atas kawasan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemandangan atas kawasan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada Jumaat. - Foto Bernama



Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Batang Kali dekat Kuala Lumpur pada jam 2.42 pagi Jumaat, memerangkap 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang, Andalas di Selangor serta Operasi Taktikal Khas dan Pasukan Penyelamat Malaysia (STORM) masih berjalan.

Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dengan sembilan masih belum ditemukan berdasarkan maklumat rasmi pihak polis. Sementara yang lain selamat. - Bernama