Hubungan baik Pusat, negeri tangani isu perumahan di Johor

Akmal Nasrullah berucap ketika pertemuan dengan penduduk di Kim Teng Park pada Ahad.
Akmal Nasrullah berucap ketika pertemuan dengan penduduk di Kim Teng Park pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hubungan kerjasama yang baik antara pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri termasuk Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilihat mampu menangani isu perumahan terutamanya melibatkan ‘projek sakit’.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara berkenaan sememangnya perlu diberikan perhatian terutamanya melibatkan projek-projek bermasalah.

“Isu perumahan ini sememangnya telah saya teliti sebelum dilantik sebagai timbalan menteri lagi kerana banyak rumah yang bermasalah.

“Oleh itu, isu ‘projek sakit’ akan diberi tumpuan di mana setakat ini fokus diberikan kepada taklimat antara jabatan dan kerajaan. Malah, ia juga telah diutarakan oleh Menteri KPKT (Nga Kor Ming) sendiri baru-baru ini,” katanya ketika program bertemu penduduk di Kim Teng Park pada Ahad.

Akmal Nasrullah berkata demikian bagi mengulas isu berhubung 17 projek perumahan sakit dan tujuh projek perumahan terbengkalai di bawah kerajaan Persekutuan yang dikenal pasti di Johor ketika ini sebagaimana yang dibangkitkan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Johor, 4 Disember lalu.

Sebelum program berkenaan, Akmal Nasrullah turut mengadakan program Walkabout di Pasar Tani Bandar Baru Uda.

Sementara itu ketika berucap pada majlis pertemuan berkenaan, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menegaskan beliau akan melakukan yang terbaik kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen berkenaan biarpun lebih kerap berada di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab di peringkat kementerian.

“It’s not going to be easy, tapi kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan saya minta maaf terlebih dahulu kerana saya tidak dapat banyak luangkan masa, saya perlu berada di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

“Namun saya akan tetap lakukan yang terbaik untuk penduduk di Parlimen Johor Bahru yang telah banyak menyokong perjuangan saya selama ini,” katanya.