[VIDEO] Tanah runtuh: GPR bantu kesan baki mangsa - Mohd Khairi

Anggota SAR ketika menjalankan kerja-kerja mecari menggunakan GPR. - Foto Nadma (Gambar kecil: Mohd Khairi Khairudin)
Anggota SAR ketika menjalankan kerja-kerja mecari menggunakan GPR. - Foto Nadma (Gambar kecil: Mohd Khairi Khairudin)
A
A
A

HULU SELANGOR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan 'ground penetrating radar' (GPR) bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father Organic Farm, Jalan Gohtong-Batang Kali, di sini pada Ahad.

Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, penggunaan GPR digunakan buat pertama kali dalam operasi SAR di Malaysia.

"GPR berkenaan dibekalkan oleh sebuah syarikat tempatan bagi membantu mengesan mangsa yang terperangkap di bawah tanah dalam kedalaman sehingga lima meter.

"Selain menggunakan anjing pengesan (K9) kita juga gunakan teknologi canggih. Hari ini syarikat berkenaan membawa masuk dua unit dan telah dibahagi kepada dua sektor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Mesin GPR dibawa masuk oleh anggota bomba bagi membantu operasi SAR di lokasi kejadian tanah runtuh pada Ahad.
Mesin GPR dibawa masuk oleh anggota bomba bagi membantu operasi SAR di lokasi kejadian tanah runtuh pada Ahad.

Khairi berkata, GPR berkenaan mudah digunakan oleh pasukan penyelamat kerana ia merupakan alat mudah alih yang mudah untuk digerakkan.

Katanya, peralatan berkenaan telah digunakan oleh negara-negara jiran bagi membantu dalam operasi SAR.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, operasi SAR di lokasi kejadian telah masuk hari ketiga bagi mengesan baki sembilan orang mangsa yang masih hilang.

Artikel Berkaitan:

Antara agensi utama terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).