Rumah dekat, alasan tak pakai topi keledar

Sebanyak tujuh daripada 116 notis saman dikeluarkan membabitkan tidak memakai topi keledar dalam Ops Khas topi kalendar di sekitar Jalan Permatang Badak.
Sebanyak tujuh daripada 116 notis saman dikeluarkan membabitkan tidak memakai topi keledar dalam Ops Khas topi kalendar di sekitar Jalan Permatang Badak.
A
A
A

KUANTAN - Rumah dekat antara alasan yang sering diberi penunggang motosikal apabila mereka ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menjalankan Ops Khas Topi Keledar di sekitar Jalan Permatang Badak di sini.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pemakaian topi keledar amat penting kerana ia dapat mengelakkan daripada risiko kematian dan kecederaan parah apabila berlaku kemalangan.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 116 notis saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, tujuh notis saman berkaitan tidak memakai topi keledar, 27 tiada lesen memandu dan empat notis pula memandu di bawah umur.

"Notis saman yang dikeluarkan bukannya untuk menghukum, sebaliknya bagi mendidik dan memberi pengajaran kepada penunggang motosikal supaya tidak mengulangi kesalahan serta memastikan keselamatan mereka ketika berada di atas jalan raya," katanya pada Ahad.

Operasi itu diketuai seorang pegawai bersama lapan anggota penguat kuasa JPJ Pahang yang memberi fokus kepada penunggang motosikal.

Kamarul Iskandar berkata, bagi kesalahan tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal, tindakan saman boleh dikenakan di bawah Kaedah 4 (Kaedah-Kaedah Motosikal - Topi Keledar) 1973.

"Kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan pemberian mata demerit kepada penunggang tersebut sebanyak dua mata demerit yang mana telah ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Mata Demerit) Pindaan 2018.

Artikel Berkaitan:

"Boleh juga diambil tindakan di bawah Seksyen 35(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan boleh menggantung atau membatal sesuatu lesen memandu jika mata demerit yang telah dikumpul melebihi 20 mata dalam tempoh setahun," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Ops Khas tersebut, Kamarul Iskandar berkata, penekanan ini dibuat kerana penunggang motosikal merupakan kluster penyumbang terbanyak kepada kemalangan maut di jalan raya.

"Kita sebenarnya mahu memberikan kesedaran serta kepatuhan penunggang motosikal terhadap undang-undang jalan raya," katanya.