Puteri sulung Raja Thailand masuk hospital

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol. - Foto Agensi
Puteri Bajrakitiyabha Mahidol. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Cahaya mata sulung Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn diterbangkan ke sebuah hospital di Bangkok selepas baginda tidak sedarkan diri kerana masalah jantung, menurut kenyataan istana pada Khamis.

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol atau Puteri Bha dilaporkan jatuh pengsan pada petang Rabu ketika sesi latihan anjing tentera di Nakhon Ratchasima, utara Bangkok.

Difahamkan, Puteri Bha, 44, adalah cahaya mata tunggal daripada perkahwinan pertama pemerintah Thailand tersebut.

Sehingga kini, istana belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang pengganti Raja Maha walaupun peraturan di negara itu lebih memihak kepada pewaris lelaki.

Puteri Bha bagaimanapun memainkan peranan penting dalam masyarakat dan turut dilindungi undang-undang kontroversi, lese- majeste yang mana kesalahan menghina monarki boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Baginda mendapat pendidikan awal di Britain sebelum mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa di universiti tempatan.

Puteri Bha kemudiannya menyambung pengajian Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang di Cornell University di New York.

Baginda pernah menjadi Duta Thailand ke Austria pada 2012 dan Wakil Tetap ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna selain memegang jawatan dalam sistem perundangan negara itu.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun lalu, Puteri Bha dilantik sebagai Ketua Turus di bawah Perintah Pengawal Peribadi Raja. - AFP