Pasangan kekasih ditahan kes pecah sekolah, pejabat, surau

Antara beberapa barang yang dirampas selepas menahan sepasang kekasih yang terlibat dalam kes pecah sekolah, pejabat dan surau di sekitar Bandar Raya Johor Bahru.
Antara beberapa barang yang dirampas selepas menahan sepasang kekasih yang terlibat dalam kes pecah sekolah, pejabat dan surau di sekitar Bandar Raya Johor Bahru.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Polis menahan sepasang kekasih selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah sekolah, pejabat dan surau di sekitar bandar raya ini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan dibuat terhadap suspek lelaki, 22, dan wanita, 25, di Kawasan Bandar Baru Permas Jaya pada jam 7.30 petang.

"Kedua-duanya merupakan warga tempatan. Tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat guru di sebuah Sekolah Agama kawasan Taman Mount Austin di sini pada 1 Disember lalu yang mendakwa sekolah itu telah dipecah masuk pada hari kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 30 November lebih kurang jam 6.30 petang hingga 1 Disember lalu lebih kurang jam 8 pagi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, dua suspek itu ditahan bersama beberapa barang rampasan enam bag galas pelbagai jenama, LCD projektor, tujuh kad ATM, empat telefon bimbit, empat jam tangan, spanar, pemutar skru dan gunting.

"Hasil siasatan mendapati kejayaan tangkapan ini dapat menyelesaikan sepuluh kes jenayah yang lain melibatkan kes pecah surau, kes pecah sekolah tadika, kes pecah pejabat dan kes samun," katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek wanita pula mempunyai satu rekod kes dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua suspek negatif dadah dan kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan " jelas beliau.
Artikel Berkaitan: