Insan insurans pilihan bukan paksaan - Mohd Zawawi

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengakui Skim Insurans Am Selangor (Insan) yang dilancarkan pada Oktober lalu adalah insurans konvensional namun ditawarkan dengan pilihan bukan paksaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, Insan ditawarkan kepada seluruh rakyat Selangor yang berjumlah 6 juta orang.

"Jadi kerajaan (negeri) mencarum dalam nilaian 6 juta tadi dengan harga RM2 premium. Jadi dengan jumlah yang besar itu ada syarikat yang mampu untuk menawarkan dengan harga serendah RM2.

"Memang insurans ini konvensional maknanya bukanlah yang patuh syariah tetapi ini program (yang) pertama kita tawarkan kepada rakyat Selangor dengan cara pilihan dan bukan paksaan.

"Memang dalam perancangan akan datang kita akan melibatkan pihak takaful untuk turut serta menawarkan (kerjasama dalam) program ini," katanya kepada Sinar Harian dihubungi pada Khamis.

Pada Selasa, Pas Selangor kesal dengan tindakan kerajaan negeri memilih syarikat perkhidmatan insurans konvensional untuk skim insurans menerusi Insan yang didakwa tidak patuh syariah.

Setiausaha Perhubungannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sewajarnya peka dengan soal halal haram berhubung tindakan tersebut memandangkan ia melibatkan rakyat Selangor yang majoritinya umat Islam.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu jelas melanggar keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, tidak timbul soal melanggar fatwa atau sebagainya kerana keperluan ini dilihat untuk membantu rakyat ditimpa musibah sama ada meninggal dunia atau kehilangan anggota badan.

"Sekurang-kurangnya dia (mangsa) ada sumber kewangan untuk menampung kos rawatan. Ini kadang-kadang bagi orang miskin, orang susah dalam keadaan darurat adalah lebih baik dia (mangsa) ada satu jumlah wang untuk menampung kehidupan.

"Walaupun bantuan zakat ada tetapi kadang-kadang tidak mampu atau cukup untuk menampung kos rawatan tersebut.

"Jadi keutamaannya sudah pastinya kepada rakyat miskin dan kalau dibangkitkan soal patuh syariah atau tidak memang ini konvensional untuk (program) kali pertama dan untuk kali kedua insyaALLAH kita akan cuba usahakan untuk program yang patuh syariah," jelasnya.

Mohd Zawawi berkata, perkara itu juga sudah bincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) namun program berkenaan perlu diselesaikan dalam tempoh setahun selepas dilancarkan pada Oktober lalu.

"Jadi sebelum tarikh tamat itu kita akan bincang dengan syarikat syarikat takaful untuk terlibat sama termasuk menilai semula daripada pelbagai sudut untuk program program yang lebih patuh syariah pada masa akan datang," tambahnya.

Sebagai rekod, Insan adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk 6 juta penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya kerajaan Selangor.

Skim insurans percuma dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.