MQT 2.0: Bermula perjalanan bersama al-Quran

Dari kiri: Fazrul, Safri dan Ahmad Tarmizi ketika siaran langsung program MQT2.0 yang diadakan di studio Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Dari kiri: Fazrul, Safri dan Ahmad Tarmizi ketika siaran langsung program MQT2.0 yang diadakan di studio Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Program yang pernah mencetuskan fenomena, My #QuranTime kini tampil dengan musim kedua apabila memulakan siaran episod pertamanya pada Rabu.

Ketua Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Kawalan Kualiti, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Safri Muhammad Zein berkata, episod pertama My #QuranTime 2.0 (MQT 2.0) yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian, QuranHour dan Ideaktiv memfokuskan adab-adab bersama al-Quran serta cara mentadabbur kitab tersebut dengan sumber rujukan tadabbur menggunakan 18 kitab tafsir dan kitab hadis.

“Kita juga turut membincangkan cara untuk menghafaz ayat dalam surah-surah al-Quran dan juga keistimewaan MQT 2.0 musim baharu ini.

“Dengan bermulanya episod pertama MQT 2.0 pada hari ini, maka bermulalah perjalanan kita bersama al-Quran untuk menuju ke 2,111 episod, Insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas program MQT2.0 yang diadakan secara langsung di sini, pada Rabu.

Safri Muhammad Zein
Safri Muhammad Zein

Program yang bersiaran selama satu jam bermula 12 hingga 1 tengah hari itu turut menampilkan peneraju, Fazrul Ismail sebagai pentadabbur dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sebagai Qari yang membacakan Surah Al-Fathir dan Al-Nisa’.

Menurut Safri, dalam ayat ke-29 Surah Al-Fathir yang dibacakan oleh Ahmad Tarmizi mengajak umat Islam untuk memahami al-Quran melalui tilawah, pemahaman isi kandungan dan tadabbur, seterusnya hafazan dalam solat.

“Ini adalah usaha MQT2.0 mengajak umat Islam untuk meningkatkan kualiti dalam solat.

Artikel Berkaitan:

“Selan itu, surah ini juga menyebut tentang infaq yang mana secara tidak langsung, kita dapat menerapkan tentang tiga perkara penting yang menjadi fokus pada musim kali ini iaitu al-Quran, solat dan infaq,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, dia dan 35 peserta termasuk 15 pelajar tahfiz mengakui terharu dan teruja diberi kesempatan untuk sama-sama melibatkan diri dalam episod pertama program MQT2.0.

“Alhamdulillah pagi ini (Rabu) kita dapat sampai ke studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, kami sangat teruja berpeluang ikut serta dalam episod pertama program ini.

“Apabila kita memartabatkan al-Quran, Insya-ALLAH kitab ini yang akan menjadikan kehidupan kita lebih beriman, bertakwa dengan mengikut apa yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Antara peserta daripada Persatuan Rumah Ngaji Pahang yang hadir di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Antara peserta daripada Persatuan Rumah Ngaji Pahang yang hadir di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Beliau dalam pada itu turut menggalakkan penglibatan golongan muda dan menyeru mereka mengambil peluang yang ada untuk bersama-sama mengikuti kupasan yang dihidangkan menerusi program tersebut.

“Program ini disiarkan dalam media sosial, jadi peluang untuk mengikutinya sentiasa terbuka.

“Jadi tidak ada alasan untuk kata tidak mempunyai maklumat berkaitan al-Quran kerana ia telah terhidang dalam media sosial,”ujarnya.

Pada musim pertama sebanyak 838 episod, program ini telah mencatatkan sebanyak 85 juta tontonan di skrin, lebih 150 ribu sahabah Al-Quran di dalam dan luar negara.

Program itu siap dilancarkan selepas melalui kajian konten dengan rujukan 18 Kitab Tafsir dan Kitab Hadith Bukhari Muslim, melakukan latih tubi program di makmal ujian studio My #QuranTime Plus dalam tempoh lebih dua bulan secara intensif agar isi Al-Quran dapat disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami para pelayar dan penonton MQT.