Kereta Kabel Bukit Bendera dijangka siap tiga tahun lagi

Kon Yeow (tiga dari kanan) dan Ravindran (dua dari kanan) bersama barisan Exco Pulau Pinang menunjukkan lakaran pelan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera pada sidang media di Komtar pada Rabu.
Kon Yeow (tiga dari kanan) dan Ravindran (dua dari kanan) bersama barisan Exco Pulau Pinang menunjukkan lakaran pelan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera pada sidang media di Komtar pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengunjung Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Chow Kon Yeow berkata, Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu bakal dilaksanakan sebuah syarikat Hartasuma Sdn Bhd.

Menurutnya, syarikat tersebut berjaya dalam proses bidaan melalui Request For Proposal (RFP) yang dilaksanakan pada 13 Januari tahun lalu.

"Projek ini dianugerahkan melalui Kerjasama Awam Swasta (KAS) mengenai rekabentuk, kewangan, bina, kendali dan pindah (sub-set asas 'joint venture partnership'). Hartasuma Sdn Bhd mempunyai pengurusan projek yang baik, keupayaan teknikal, kewangan kukuh serta kepakaran dalam pembinaan projek kereta kabel.

"Jawatankuasa Penilaian daripada pelbagai agensi kerajaan telah menilai cadangan RFP mengikut keperluan yang ditetapkan dalam dokumen RFP. Hartasuma Sdn Bhd disyorkan Jawatankuasa Penilaian dan diluluskan oleh Lembaga Perolehan Pulau Pinang.

"Dengan pembidaan terbuka, anggaran pelaburan oleh pembida yang berjaya dijangka berjumlah kira-kira RM245 juta dan projek itu berdasarkan tempoh konsesi selama 30 tahun," katanya pada sidang media di Komtar di sini pada Rabu.

Hartasuma Sdn Bhd adalah perintis dalam industri rel tempatan dan mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam keseluruhan rangkaian pelaksanaan projek daripada pengurusan projek dan logistik, rangkaian bekalan antarabangsa, protokol ujian dan pentauliahan serta pembiayaan projek.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, jajaran dan kesesuaian lokasi projek kereta kabel telah diambil kira oleh Jawatankuasa Penilaian dengan tapak jajaran laluan paling sesuai iaitu berhampiran Taman Botani.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya kereta kabel Bukit Bendera, Pulau Pinang akan memperoleh satu lagi tarikan pelancong yang ikonik sebagai tambahan kepada funikular sedia ada yang telah memberi perkhidmatan kepada penduduk dan pengunjung Bukit Bendera selama hampir 100 tahun.

"Kita berharap ia akan membantu kelancaran trafik terutamanya semasa musim puncak, memandangkan perkhidmatan funikular yang berusia seabad dari kawasan Air Itam. Selain itu, kita berharap mod pengangkutan yang lebih hijau ini akan meningkatkan lagi pengalaman pelancongan dan menyumbang kepada sosio-ekonomi kawasan sekitar yang akan menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, dengan jumlah pengunjung tahunan 1.3 hingga 1.8 juta, pihaknya berharap kereta kabel Bukit Bendera akan memainkan peranan praktikal dalam mengimbangi jumlah pengunjung.

"PBBPP juga berharap untuk melaksanakan pengangkutan mesra alam bagi pengunjung untuk ke stesen kereta kabel bagi mengurangkan pelepasan karbon di kawasan Rizab Biosfera Bukit Bendera.

"Selain itu, kereta kabel Bukit Bendera akan memastikan perjalanan yang selamat dan menyeronokkan serta meningkatkan penghargaan pengunjung terhadap alam semula jadi di samping menikmati kehijauan dan pemandangan udara Rizab Biosfera Bukit Bendera," katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Hartasuma Sdn Bhd, Tan Sri Ravindran Menon berkata, projek tersebut hanya akan dilaksanakan selepas syarikat tersebut memperolehi kelulusan daripada kementerian berkaitan.

Kata beliau lagi, projek tersebut dijangka akan mengambil tempoh masa antara 18 hingga 20 bulan sebelum dibuka kepada pengunjung.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan projek kereta kabel Bukit Bendera walaupun Kerajaan Pusat membatalkan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan projek tersebut pada April 2020.