LPPKN tandatangani MoU projek rintis kaunseling perkahwinan

Mohd Zaidi (tiga kanan) menerima cenderamata selepas majlis menandatangani MoU di Pusat Keluarga LPKKN Negeri Sembilan pada Rabu.
Mohd Zaidi (tiga kanan) menerima cenderamata selepas majlis menandatangani MoU di Pusat Keluarga LPKKN Negeri Sembilan pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga agensi kerajaan Negeri Sembilan bagi Projek Rintis Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga pada Rabu.

MoU itu ditangani antara LPPKN Negeri Sembilan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pengerusi LPPKN, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali berkata, projek rintis ini bertujuan membantu pasangan menyelesaikan masalah perkahwinan melalui perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga oleh Kaunselor Berdaftar LPPKN.

"Seramai 240 orang klien dalam fasa ingin bercerai dan iddah daripada JHEAINS dan JKSNS di daerah Seremban dilibatkan dalam projek ini.

"Fokus klien adalah klien yang berada di daerah Seremban untuk memudahkan klien datang ke Pusat Keluarga di sini dan mengurangkan beban perjalanan jauh bagi klien yang di tinggal di luar daerah Seremban," katanya ketika berucap dalam majlis itu di Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan pada Rabu.

Suhaimi berkata, data daripada Unit Kaunseling LPPKN negeri bagi tahun 2017 hingga 2019 merekodkan sebanyak 1,022 sesi kaunseling individu dan 2,635 kaunseling kelompok atau keluarga telah dijalankan dan kes kaunseling yang paling tinggi dirujuk adalah perkahwinan dan komunikasi dalam keluarga.

"Senario ini mendorong kepada tercetusnya projek ini dalam usaha membantu pasangan berkenaan melalui tempoh kritikal dalam perjalanan rumah tangga mereka," katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli, kebanyakan aduan yang diterima pihaknya adalah melibatkan pengabaian tanggungjawab terhadap pasangan, masalah komunikasi pasangan dan masalah akhlak sosial pasangan suami isteri.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dengan adanya projek rintis ini, dapatlah kita membantu lebih banyak pasangan bagi menangani masalah perhubungan dengan cara yang lebih efektif.

"Ia dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga yang lebih komprehensif daripada kaunselor profesional," katanya.