Negeri Sembilan perlu penyerang berkualiti

Pemain Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan (kiri) menanduk bola ke gawang Kedah Darul Aman pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Pemain Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan (kiri) menanduk bola ke gawang Kedah Darul Aman pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
A
A
A

NEGERI Sembilan FC memerlukan penyerang berkualiti termasuk pemain import yang berupaya mencipta gol bagi membolehkan skuad Rusa terus kekal kompetitif mengharungi Liga Super musim ini.

Malah pengendali Negeri Sembilan, K Devan enggan menyalahkan pemainnya yang disifatkannya melakukan yang terbaik selepas kecundang 1-2 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, menegaskan ketumpulan jentera serangan dan kurangnya pemain import antara punca kekalahan skuad Hoben Jang Hoben tersebut.

Katanya, pasukan tuan rumah hanya turun dengan dua pemain import, berbanding skuad Kenari dibarisi lima pemain import dan seorang lagi di bangku simpanan.

“Secara jelas pemain yang menjaringkan gol adalah pemain import di bahagian serangan, tetapi kita tiada penyerang import.

”Saya lihat masalah pasukan adalah susah mendapatkan gol, pemain juga kurang kualiti di bahagian tertentu, sekiranya kita mahu menyaingi pasukan yang mempunyai bajet lebih baik, kita perlu cari jalan... jika tidak, perlu terima keputusan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Sebagai rekod, pemain import yang beraksi berdepan Hijau Kuning, Mark Herold Goulon dan Levy Clement Madinda, manakala Casagrande tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

Tambah Devan lagi, Negeri Sembilan dalam situasi sekarang berdepan dilema dalam menghasilkan tindakan penyudah tajam.

“Sekarang ini pasukan perlu menjaringkan gol, kita bolos lebih banyak, pemain bermain bersungguh-sungguh sehingga tamat perlawanan.

“Semangat sahaja tidak mencukupi perlu ada kualiti, disebabkan kurang kualiti, Negeri Sembilan tidak dapat menyaingi pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, jelas Devan hasil perbincangan dengan pihak pengurusan, Negeri Sembilan akan bermain dengan pasukan sedia ada sekarang.

Katanya, jika kewangan persatuan bertambah baik pasukan bakal mencari tambahan pemain import bagi jendela perpindahan kedua selepas ini.

Sebegai rekod, Negeri Sembilan kini menduduki tangga kesembilan dengan 10 mata dijadual berdepan Kuala Lumpur City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 14 Mei ini.