Lompat parti, automatik gugur ahli Parlimen - Nik Amar

Kalau ada tak puas hati, perkara akan dibawa ke mahkamah

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah cenderung berpandangan empat pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah yang meninggalkan parti itu adalah secara automatik gugur ahli Parlimen.

Pandangan beliau itu sejajar dengan pendapat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-Undang) yang menguruskan Akta Anti Lompat Parti sehingga diluluskan Parlimen sebelum ini.

“Isunya adakah mereka dikenakan tindakan di bawa Rang Undang-undang (RUU) itu sebab ada dua pandangan, tidak gugur dan ada pula kata, gugur.

“Saya cenderung dengan pandangan bekas menteri undang-undang yang mengatakan mereka ini sudah melanggar Akta Anti Lompat Parti dan perlu mengosongkan kerusi itu atau automatik gugur,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, perkara itu bagaimanapun akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat sama ada mereka perlu mengosongkan kerusi atau tidak atau perlu dibawa ke mahkamah.

“Apabila berlaku lompat parti, pihak parti yang berkenaan akan memaklumkan kepada speaker dan speaker yang akan membuat keputusan.

“Ataupun kalau ada orang yang tidak berpuas hati, perkara itu mungkin akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas berkaitan pertemuan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi membincangkan isu pembangunan negeri di utara itu, kata Mohd Amar, Kelantan akan melakukan perkara sama.

Artikel Berkaitan:

“Menjadi amalan biasa apabila Perdana Menteri baru dilantik, biasanya menteri besar atau ketua menteri akan mengadakan kunjungan hormat.

“Kelantan akan lakukan kunjungan sama. Cuma terserah menteri besar bila-bila nak pergi,” katanya.

Pada Sabtu lalu, pemimpin Bersatu Sabah termasuk empat MP iaitu Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) mengumumkan keluar parti.

Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor memberitahu keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini dan di Sabah terutamanya.