'Perlu kosongkan kerusi jika peletakan jawatan diterima parti'

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Empat bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan meninggalkan parti perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sekiranya peletakan jawatan mereka diterima, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut laporan Astro Awani pada Isnin, Wan Junaidi berkata, tindakan empat ahli Parlimen itu untuk keluar parti perlu diterima secara rasmi dan disahkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau yang merupakan menteri bertanggungjawab menjayakan penggubalan Akta Antilompat Parti di Dewan Rakyat yang dikuatkuasakan bermula Oktober lalu berkata, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan ekoran daripada pengosongan kerusi tersebut.

Bagaimanapun, Wan Junaidi ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad menjelaskan, maklumat mengenai waktu keempat-empat ahli Parlimen itu meletak jawatan amat penting bagi menentukan sama ada mereka terkesan atau tidak dengan undang-undang tersebut.

Menurutnya, ahli Parlimen terbabit tidak akan tertakluk di bawah undang-undang berkenaan sekiranya mereka meninggalkan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

“Jadi waktu bila mereka keluar parti itu yang penting. Sebab kalau seseorang itu bukan lagi ahli parti (ketika beliau bertanding PRU), jadi dia tidak terkesan dengan undang-undang itu,” katanya.

Pada Sabtu, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan mengumumkan pemimpin parti itu di negeri tersebut termasuk semua wakil rakyatnya keluar daripada parti.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak memberikan sebarang maklumat mengenai tarikh sebenar kesemua individu terbabit menghantar secara rasmi keputusan untuk keluar daripada parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Di bawah undang-undang Antilompat Parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian untuk ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubar atau dibatalkan pendaftaran.