Melaka mohon sekolah menengah baharu

Rais ketika menjawab soalan lisan ketika Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada Rabu.
Rais ketika menjawab soalan lisan ketika Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merancang pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di Taman Sutera Wangi bagi mengurangkan kepadatan pelajar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi, Datuk Rais Yasin berkata, permohonan projek di kawasan Batu Berendam dan bersempadan DUN Durian Tunggal itu telah dimasukkan dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurutnya, data statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kepadatan pelajar berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal yang merupakan satu-satunya sekolah menengah dalam DUN tersebut dengan jumlah 1,260 pelajar ditempatkan dalam 47 kelas.

Katanya, biarpun sekolah sedia ada masih mampu menampung jumlah pelajar menengah dalam DUN berkenaan, namun dengan adanya sekolah baharu dapat memberi lebih keselesaan kepada warga sekolah seiring pertambahan penduduk yang pesat membangun.

Selain daripada itu, sebuah sekolah menengah baharu iaitu SMK Krubong telah mula beroperasi pada Julai lalu.

"Jadi kewujudan sekolah itu juga telah menyuraikan enrolmen di sekolah-sekolah berhampiran termasuk SMK Paya Rumput, SMK Malim dan SMK Durian Tunggal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) ketika Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga ADUN Paya Rumput berkata, bagi sekolah rendah terdapat sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tinggal menunjukkan sedikit kepadatan dengan bilangan 1,026 murid berbanding enam sekolah lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, JPN juga telah mengenal pasti tanah di Taman Scientex Durian Tinggal yang dirizabkan untuk pendidikan pada masa akan datang.

Katanya, JPN telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tujuan kos pendaftaran dan proses sebelum hakmilik tanah didaftarkan atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

"JPN sentiasa membuat penilaian berdasarkan keperluan dan kepadatan sekolah sedia ada dari semasa ke semasa," katanya lagi.