Twitter bubar majlis amanah dan keselamatan

Twitter membubarkan Majlis Amanah dan Keselamatannya di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Elon Musk, lewat Isnin. - Foto AFP
Twitter membubarkan Majlis Amanah dan Keselamatannya di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Elon Musk, lewat Isnin. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Twitter membubarkan Majlis Amanah dan Keselamatannya di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Elon Musk, lewat Isnin, Agensi Anadolu memetik laporan media.

Ahli badan itu dimaklumkan dalam e-mel bahawa majlis itu bukan lagi "struktur terbaik" untuk membawa idea luaran dalam pembangunan produk dan dasar kerja Twitter, lapor Washington Post.

E-mel ini diterima sejurus sebelum ahli majlis dijadual mengadakan pertemuan video dengan wakil Twitter untuk membincangkan perkembangan terkini, kata laporan itu, memetik sumber yang biasa dengan isu berkenaan dan tidak mahu namanya disiarkan.

"Kami berterima kasih atas penglibatan, nasihat dan kerjasama anda dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mendoakan kejayaan anda pada masa hadapan," menurut e-mel itu.

Menurut seorang ahli majlis yang tidak mahu namanya disebut, langkah itu sama seperti membuang "memori institusi bertahun-tahun yang telah kami bawa dalam majlis" kepada syarikat itu.

Twitter membentuk kumpulan penasihat pada 2016 untuk menjadikan platform itu lebih selamat dan menangani ucapan kebencian, eksploitasi kanak-kanak, bunuh diri, cederakan diri dan masalah lain.

Ia terdiri daripada kira-kira 100 ahli sivil bebas, hak asasi manusia, dan organisasi lain.

Pemilikan Twitter oleh Musk, yang kini memasuki bulan pertamanya, mencetuskan keadaan kucar-kacil meluas dalam syarikat itu susulan tindakannya yang mahu menjadikan platform media sosial itu entiti yang menguntungkan melalui pemberhentian besar-besaran pekerja serta memperkenal dasar yang ditentang secara meluas di peringkat dalaman.

Artikel Berkaitan: