Elon Musk cipta pesaing AI?

Teknologi itu menggabungkan kecerdasan manusia dengan kecerdasan buatan (AI). - Foto Agensi
Teknologi itu menggabungkan kecerdasan manusia dengan kecerdasan buatan (AI). - Foto Agensi
A
A
A

SAN FRANCISCO - Syarikat neuroteknologi milik Elon Musk, Neuralink mendakwa ia mendapat lampu hijau daripada pengawal selia Amerika Syarikat (AS) untuk menguji implan otak pada manusia.

Menurutnya, kelulusan diberikan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) untuk ujian klinikal pertama itu adalah langkah penting untuk teknologi dibangunkan mereka yang membolehkan otak berhubung secara terus dengan komputer, sekali gus menyerlahkan kecerdasan manusia.

Ketika mengumumkan projek itu pada Disember lalu, Musk turut mendedahkan prototaip Neuralink berukuran saiz duit syiling telah diimplan ke dalam otak monyet dan mereka akan memastikan ia benar-benar selamat sebelum peranti itu digunakan pada manusia.

Menerusi pembentangan itu, beberapa monyet dilihat 'bermain' permainan video asas atau menggerakkan kursor menggunakan implan Neuralink tersebut.

Musk menjelaskan syarikat yang ditubuhkan pada 2016 itu cuba menggunakan implan berkenaan untuk memulihkan penglihatan dan mobiliti pada manusia yang hilang keupayaan tersebut.

"Ia adalah berita gembira buat individu yang hampir tidak berdaya untuk mengendalikan otot mereka. Ia membolehkan golongan itu mengendalikan telefon mereka lebih pantas berbanding individu yang menggunakan tangan," jelas Musk sambil menambah implan tersebut diharap dapat memulihkan fungsi badan mereka yang mengalami masalah saraf tunjang.

Selain merawat penyakit saraf, matlamat utama Musk adalah untuk memastikan manusia tidak 'dikawal' teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang di seluruh dunia.

Syarikat lain yang sedang membangunkan sistem sama adalah Synchron yang mengumumkan ia telah memasukkan impan antara muka mesin otak pertama di AS. - AFP