Najib beri keterangan kes Shahrir 22 Disember ini

Shahrir, Najib
Shahrir, Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes Tan Sri Shahrir Ab Samad yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri itu pada 22 Disember ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi memberitahu mahkamah bahawa Najib yang kini dibicarakan bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya berkelapangan pada tarikh berkenaan.

"Pihak pendakwaan boleh memanggil saksi seterusnya iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan esok, manakala Datuk Seri Najib memberi keterangan pada 22 Disember.

"Pihak pendakwaan boleh memanggil semula pegawai penyiasat itu selepas Datuk Seri Najib selesai beri keterangan,” kata hakim.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Terdahulu, Rasyidah Murni berkata pihaknya memohon perbicaraan bersambung esok dan 15 Disember ini dilapangkan dan disambung pada 22 Disember untuk Najib memberi keterangan.

"Keterangan Datuk Seri Najib perlu didengar dahulu sebelum pegawai penyiasat SPRM dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, mewakili Shahrir, membantah permohonan pendakwaan untuk melapangkan tarikh tersebut kerana perbicaraan kes itu akan berpanjangan dan membuang masa mahkamah

Artikel Berkaitan:

"Semakin lama kes ini berlarutan, semakin lama anak guam saya terpaksa hadir ke mahkamah walaupun ada isu peribadi termasuk anak sakit di hospital.

"Kalau boleh pengawai penyiasat SPRM dipanggil dahulu esok dan Khamis (15 Disember) untuk tidak membuang masa mahkamah dan kami cadangkan saksi itu (pegawai penyiasat) dipanggil semula selepas Datuk Seri Najib memberi keterangan,” kata peguam itu.

Pada prosiding hari ini, saksi pendakwaan ke-21 iaitu Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah menyambung keterangannya.

Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Shahrir perlu lapor wang RM1 juta diterima kepada LHDN

Dalam perkembangan lain, seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, Tan Sri Shahrir Ab Samad sepatutnya melaporkan wang RM1 juta yang diterimanya pada 2013 kepada LHDN.

Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata, wang yang diterima Shahrir dalam jumlah yang banyak itu, perlu dilapor bagi LHDN menentukan sama ada wang tersebut merupakan pendapatan yang perlu dicukai atau sebaliknya.

"Tanggungjawab pembayar cukai ialah laporkan pendapatan dan ia bergantung kepada kategori tertentu yang mana komisen dan wang sewaan juga merupakan pendapatan.

"Kalau jumlah yang diterima banyak sehingga mencecah RM1 juta, ia perlu dilaporkan untuk pihak LHDN tentukan sama ada ia layak dikenakan cukai atau tidak. Jumlah cukai dikenakan bergantung kepada jumlah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes Shahrir, yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada LHDN.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, merupakan seorang pembayar cukai yang baik dan tidak pernah gagal menghantar borang taksiran cukai sejak 2004.

Pada 5 Oktober lalu, Tuan Zulkfli memberitahu mahkamah bahawa Shahrir tidak pernah mengisytiharkan pendapatan melebihi RM1 juta, bagi tahun taksiran 2013 hingga 2018 kepada LHDN.

Katanya, Shahrir mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191).

Kepada soalan TPR Mohd ‘Afif Ali, Tuan Zulkfli berkata, tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan merupakan kesalahan berat dan memalukan, yang boleh menyebabkan maruah tercalar tanpa mengira sama ada individu itu ahli Parlimen atau individu biasa.

"Tindakan individu untuk menipu pihak LHDN bergantung kepada niatnya dan apa yang difikirkannya ketika itu, sama ada dia tahu penerimaan wang itu dan perlu melaporkan kepada LHDN tetapi tidak berniat berbuat demikian. Jadi itu memang niat yang salah,” katanya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. - Bernama