Banjir: Bekalan kurang, peniaga jual telur tiga biji RM2

Peniaga di Rantau Panjang yang terkesan dengan musim tengkujuh dan banjir mendakwa terpaksa menjual telur tiga biji dengan harga RM2.
Peniaga di Rantau Panjang yang terkesan dengan musim tengkujuh dan banjir mendakwa terpaksa menjual telur tiga biji dengan harga RM2.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Peniaga di sini yang terkesan dengan musim tengkujuh dan banjir mendakwa terpaksa menjual telur tiga biji dengan harga RM2.

Malah ada dalam kalangan peniaga hanya menjual telur secara sepapan kepada pelanggan.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai mendapati bekalan telur juga terhad, namun permintaan sangat tinggi dalam kalangan penduduk yang terkesan banjir.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ina, 39, berkata, dia terpaksa menjual telur secara sepapan kerana tidak dapat menampung kos disebabkan faktor harga terlalu tinggi.

"Setakat ini telur gred A sahaja yang ada dan dijual dengan harga RM17.50 sepapan.

"Bekalan ada sekitar 30 papan sahaja dan mampu bertahan dalam sehari atau dua mengikut keadaan cuaca," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu Iza, 49, berkata, telur gred B dijual dengan harga RM2 bagi tiga biji, manakala sepapan RM16.

Menurutnya, bekalan juga terhad sekitar 10 papan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, permintaan sangat tinggi kerana sekarang musim tengkujuh tetapi bekalan sangat sukar untuk diperoleh.

"Kami terpaksa ke Kota Bharu dan menjelajah ke beberapa kedai untuk mendapatkan telur," katanya.

Dalam perkembangan lain, sayur sawi dan kailan mencatatkan kenaikan harga dua kali ganda berbanding hari biasa.

Para peniaga memberitahu, harga dua jenis sayuran tersebut mencecah RM7 sekilogram berbanding hari biasa hanya sekitar RM3 hingga RM4.

Sayuran lain pula seperti tomato, kubis, lada merah juga meningkat sekitar RM2 hingga RM4 sekilogram.