Jalan ditutup, dilencong sempena penganjuran acara kayuhan

Mohd Shuhaily (kanan) mendengar taklimat penutupan dan lencongan jalan di IPK Pulau Pinang.
Mohd Shuhaily (kanan) mendengar taklimat penutupan dan lencongan jalan di IPK Pulau Pinang.
A
A
A
GEORGETOWN - Beberapa jalan akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada penganjuran acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride pada 17 Disember ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagi edisi ke-4 kali ini, seramai 3,623 akan menyertai acara kayuhan yang akan diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah itu.

Menurutnya, penutupan dan lencongan jalan akan dibuat secara berperingkat bermula jam 8 malam, 17 Disember hingga jam 6 pagi, 18 Disember ini.

"Peringkat pertama iaitu pada jam 8 malam melibatkan Bulatan Queen 1 dan Bulatan Queen 2, peringkat kedua adalah pada jam 9 malam, melibatkan Bulatan Persiaran Bayan Indah, kesemua susur masuk dan susur keluar ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Bulatan Batu Maung menghala ke pusat bandar.

"Peringkat ketiga adalah pada 11 malam melibatkan sekitar Bandar Cassia dan penutupan jalan adalah bermula pada 12 tengah malam.

"Bagi peringkat keempat untuk bahagian pulau, ia akan bermula pada jam 12 tengah malam melibatkan Bulatan Bayan Baru (ke arah dan dari arah Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu serta lencongan ke Jalan Tun Dr Awang dan Jalan Sultan Azlan Shah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Kata beliau, seramai lebih 800 anggota dan pegawai polis akan bertugas dalam acara yang akan dirasmikan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

"Jarak kayuhan pada kali ini adalah 73 kilometer (km) bermula jam 11 malam sehingga 6 pagi. Selain acara kayuhan, pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai persembahan istimewa daripada artis jemputan dan persembahan tradisi.

"Selain itu, gerai menjual pelbagai barangan antaranya kosmetik dan makanan akan dibuka bermula jam 6 petang, 17 November di tapak meletak kenderaan luar Pasar raya Queensbay," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shuhaily turut menasihati pengguna jalan raya supaya menggunakan jalan alternatif antaranya Jambatan Pertama Pulau Pinang.

"Pengguna jalan raya dari tanah besar menghala ke arah Bayan Lepas/ Bayan Baru perlu melalui Jalan Sultan Azlan Shah manakala mereka dari utara/selatan yang hendak ke Bandar Cassia perlu melalui Bukit Tambun.

"Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal semasa penutupan jalan," katanya.