HRPZ II fasiliti kerajaan pertama peroleh projek tebatan banjir

Sebahagian petugas HRPZ II melakukan latihan amali memasang penghadang banjir bagi mencegah kejadian banjir besar luar jangka seperti bah kuning pada Disember 2014 yang pernah melanda hospital tersebut. - Foto Bernama
Sebahagian petugas HRPZ II melakukan latihan amali memasang penghadang banjir bagi mencegah kejadian banjir besar luar jangka seperti bah kuning pada Disember 2014 yang pernah melanda hospital tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Banjir besar luar jangkaan iaitu bah kuning pada Disember 2014 di Kelantan, meninggalkan kenangan yang cukup menyayat hati dan trauma terutama kepada mangsa banjir yang terkesan dengan fenomena alam luar biasa itu.

Mengikut rekod statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, lebih 170,000 keluarga di negeri itu terpaksa dipindahkan ke 170 pusat pemindahan sementara (PPS) dan 1,927 buah rumah musnah dihanyut arus deras.

Bah kuning bukan sahaja menyebabkan ribuan penduduk panik untuk menyelamatkan diri, malah situasi itu turut dirasai dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan yang ditugaskan untuk operasi menyelamat, serta menghulurkan bantuan kepada mangsa seperti bekalan makanan keperluan asas.

Situasi bertambah 'kelam-kabut' apabila jalan perhubungan darat, bekalan elektrik dan telekomunikasi terputus di dua buah hospital negeri itu iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Kuala Krai.

Menceritakan pengalaman melalui detik-detik cemas apabila air mula memasuki kawasan hospital, Penolong Pegawai Perubatan HRPZ II, Mohd Zuki Mohd Zain berkata, beliau bersama rakannya terpaksa bertungkus lumus, memindahkan beberapa pesakit ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Kira-kira 2 pagi, saya dan rakan-rakan terpaksa memindahkan pesakit menggunakan kenderaan lori daripada agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Keadaan gelap kerana bekalan elektrik ketika itu sudah terputus, sambil mengharungi air yang semakin naik. Perasaan ketika itu sangat takut dan cemas sebab itu adalah kali pertama dalam hidup saya lalui pengalaman sedemikian, sebab kita nak selamatkan pesakit dan beberapa peralatan mesin yang digunakan untuk pesakit,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bagi Ketua Jururawat HRPZ II Masslila Ali pula berkata, ketika kejadian 12 tengah malam, kakitangan yang bertugas tidak ramai sehingga menyebabkan beliau terpaksa memindahkan beberapa pesakit kanak-kanak yang berada di wad Unit Rawatan Rapi, kerana air mula naik sehingga paras pinggang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, apabila keseluruhan kawasan hospital digenangi air wad-wad dan lain-lain fasiliti hospital yang terjejas, terpaksa ditutup dan pesakit dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

Malah, kerajaan turut menanggung kerugian yang besar akibat kerosakan peralatan dan harta-benda hospital.

Dr Zaini berkata rentetan itu, kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir di hospital tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Rolling Plan Pertama (RP 1) dengan kos RM8 juta malah projek merupakan yang pertama dilaksanakan di fasiliti kerajaan sedia ada.

"Bencana banjir 2014 telah banyak memberi pengajaran kepada semua pihak terutama masyarakat dan agensi kerajaan, dalam membentuk prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi bencana tersebut.

"Projek tebatan banjir ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf kemudahan infrastuktur, malah dapat memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih efektif serta berkesan dapat diberikan ketika musim banjir,” katanya yang menambah projek tersebut telah dirasmikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 10 Oktober lalu.

Sementara itu, Ketua Penyelia Penolong Pegawai Perubatan HRPZ II merangkap Ketua Bilik Gerakan Banjir, Suzura Hassan berkata, projek tebatan banjir itu, merangkumi beberapa skop utama iaitu pembinaan pagar konkrit, saliran air, serta lain-lain kerja mekanikal dan elektrik seperti sistem pam air dan sistem penghadang banjir.

"Projek ini mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan dan sejumlah 15 pagar penghadang banjir dibina, bertujuan untuk menghalang kemasukan air ke dalam kawasan hospital.

"Selain itu, kami juga turut memberi latihan amali kepada kira-kira 1,000 petugas di hospital ini, untuk mengetahui bagaimana cara untuk memasang bahan ini dan turut mengedarkan video pemasangan, supaya apabila berlakunya banjir mereka sudah bersedia dan mengetahui tindakan yang wajar dilakukan,” katanya.

Pegawai Farmasi HRPZ II, Anuar Ab Rahim berkata, langkah proaktif dan usaha kerajaan melaksanakan projek itu, dilihat sangat sesuai dan tepat khusus kepada fasiliti kerajaan seperti hospital, berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga boleh menyebabkan berlakunya banjir luar jangka di kawasan terbabit. - Bernama