Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Pahang meningkat

Azmi Hamid, 42, bersama anaknya Mohd Anas, 3, menunggu masa sahaja untuk mendaftar masuk ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kubang Kual. - Foto Bernama
Azmi Hamid, 42, bersama anaknya Mohd Anas, 3, menunggu masa sahaja untuk mendaftar masuk ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kubang Kual. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Pahang meningkat, Terengganu terus menunjukkan trend menurun manakala Perak dan Johor kekal, setakat 8 malam ini.

Di KELANTAN, jumlah penduduk terkesan banjir di Pasir Mas terus meningkat kepada 1,929 orang daripada 601 keluarga berbanding 1,626 orang daripada 504 keluarga petang tadi, dengan ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan tersebut.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan 704 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok (532), SK Sri Kiambang (231), SK Kubang Kual (212), PPS Putat Tujoh (143), Masjid Mukim Padang Licin (68) dan SK Kedai Tanjong (39).

Di PAHANG, Pekan menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka petang tadi iaitu SK Sinar Mutiara, Sungai Miang yang menempatkan 46 orang daripada 10 keluarga sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa setakat malam ini seramai 444 orang daripada 128 keluarga.

Sekretariat JPBN Pahang melaporkan selain Pekan, daerah lain terjejas banjir ialah Temerloh dengan 363 mangsa daripada 108 keluarga yang berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan manakala 35 orang daripada 10 keluarga di PPS SK Sri Buntar dan SK Kerayong di Bera.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 196 orang daripada 52 keluarga berbanding 209 orang daripada 55 keluarga dengan kesemuanya ditempat di enam PPS di lima daerah.

Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Kuala Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 83 orang di dua PPS diikuti 54 orang di Kuala Nerus, Dungun (24), Kemaman (23) dan Besut (12).

Sementara itu, di JOHOR jumlah mangsa banjir di Segamat kekal 34 orang daripada 11 keluarga yang berlindung PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya.

Di PERAK, tiada pertambahan mangsa banjir direkodkan dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) kekal sebagai PPS tunggal di negeri ini yang menempatkan 134 orang daripada 31 keluarga. - Bernama
Artikel Berkaitan: