Tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Kuala Lumpur menurun

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah tanah rizab Melayu di tiga negeri mencatatkan penurunan antara tahun 2021 dan 2022.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, tiga negeri berkenaan melibatkan Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Jumlah tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.

“Manakala Perak 953,42.67 hektar kepada 953,40.87 hektar dan Kuala Lumpur daripada 1,003.56 hektar kepada 99.48 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang memintanya menyatakan berapa jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan rancangan kerajaan untuk mengatasi isu keluasan yang semakin berkurangan.

Bagaimanapun, menurut Nik Nazmi, secara keseluruhannya jumlah tanah rizab Melayu tidak berkurangan dan kerugian yang dicatat juga bukan dalam jumlah yang besar.

Jelasnya, keluasan kawasan pewartaan tanah rizab Melayu sehingga 31 Disember 2022 adalah berjumlah 4,996,406.42 hektar.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.67 peratus berbanding 4,963,190.8 hektar pada tahun 2021.

“Tidak ada kerugian bagi sudut itu dan terdapat dua pendekatan yang diambil negeri, sama ada ganti sama luas atau adakalanya dilihat dari segi nilai strategik sebab mungkin keluasannya berbeza tetapi nilainya sama.

“Jadi itu juga diambil kira dalam sudut penggantian tanah rizab Melayu, jadi tidak perlu ada kertas putih untuk ini,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu, maklumat perincian mengenai pembatalan dan penggantian tanah rizab Melayu di negeri direkodkan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing.

Katanya, ia selaras dengan peruntukan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi tanah simpanan Melayu yang tidak akan berkurangan keluasannya apabila berlaku pembatalan.

“Pihak berkuasa negeri hendaklah menggantikan keluasan kawasan yang telah dibatalkan dengan tanah-tanah lain yang sama jenis dan luasnya sebagai tanah simpanan Melayu,” ujarnya.