'Dua kali rumah dilanda banjir tahun ini'

Antara rumah penduduk Kampung Batu Kapor yang terjejas akibat banjir sejak Khamis namun mula surut sejak Ahad.
Antara rumah penduduk Kampung Batu Kapor yang terjejas akibat banjir sejak Khamis namun mula surut sejak Ahad.
A
A
A

TEMERLOH - Banjir yang kerap melanda Kampung Batu Kapor, Mentakab di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan penduduk sudah lali berdepan bencana itu.

Kampung yang terletak berhampiran Sungai Semantan itu sekali lagi dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

Antara yang terkesan ialah wartawan Sinar Harian, Rosilawati Rosedi, 40, yang tinggal bersama keluarganya di kampung itu.

Bagi Rosilawati, selain terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), dia dan keluarga terpaksa menanggung kerugian ekoran kerosakan peralatan rumah setiap kali banjir berlaku.

"Kampung ini terletak berhampiran Sungai Semantan dan dalam kejadian banjir besar tahun lalu, semua rumah di kampung ini tenggelam termasuk rumah keluarga saya sendiri.

"Tahun ini, penduduk di kampung ini sudah dua kali berhadapan banjir termasuk kejadian kali ini sehingga saya dan keluarga serta penduduk lain terpaksa berpindah ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Rosilawati membersihkan rumahnya selepas keadaan banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab semakin surut pada Isnin.
Rosilawati membersihkan rumahnya selepas keadaan banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab semakin surut pada Isnin.

Rosilawati berkata, meskipun banjir sudah menjadi perkara biasa, sebagai penduduk dia bersama keluarga sudah penat dan kecewa kerana setiap tahun terpaksa berpindah.

"Habis banjir terpaksa bersihkan rumah dan paling sedih bila banyak barang-barang dalam rumah rosak hingga terpaksa dibuang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rosilawati juga pernah kehilangan beberapa kucing kesayangan dalam kejadian banjir besar tahun lalu.

"Walaupun banyak pihak akan datang membantu dengan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk membersihkan rumah namun sebagai penduduk, kami mahu penyelesaian yang lebih berkesan bagi mengatasi bencana ini," katanya.

Rosilawati berkata, situasi banjir di kampung itu kian pulih, namun air banjir belum surut sepenuhnya dan kebanyakan penduduk masih berada di PPS.