Perjumpaan keturunan Hussin Ma Kwantung temukan 400 ahli keluarga

Sebahagian besar keturunan Hussin Ma Kwantung yang dapat bersua muka kali pertama dalam satu majlis di Taiping pada Ahad.
Sebahagian besar keturunan Hussin Ma Kwantung yang dapat bersua muka kali pertama dalam satu majlis di Taiping pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Pertemuan kali pertama keturunan Hussin Ma Kwantung berjaya mengumpulkan lebih 400 anggota keluarga dalam satu majlis di sini pada Ahad.

Pengerusi program, Azmin Ariffin berkata, perhimpunan itu diadakan bagi memperkenal keturunan besar keluarga Cina Muslim terbabit selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

"Terdapat hampir 2,000 orang berketurunan Hussin Ma daripada tujuh generasi berbeza ada di Malaysia serta Singapura, namun hanya 400 orang dapat hadir atas beberapa faktor termasuk kekangan tempat.

"Walaupun kali pertama majlis perkumpulan keluarga diadakan secara besar-besaran, sambutan diterima sangat menggalakkan," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Hadir sama dalam majlis itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Presiden Persekutuan Persatuan Hainan, Datuk Lim Chiew An; Datuk Bandar Pertama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Ahmad Termizi Puteh dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Azmin
Azmin

Azmin berkata, Hussin Ma yang merupakan seorang peladang sewaktu hayatnya telah berhijrah ke negara ini dari kepulauan Hainan di Tanah Besar Cina, China sekitar tahun 1920-an lalu.

Katanya, dalam penghijrahannya itu Hussin Ma singgah di beberapa lokasi antaranya Pulau Pinang yang menjadi pusat tumpuan masyarakat Cina Muslim suatu ketika dahulu dan seterusnya berlayar ke Pulau Pangkor sebelum menetap di Kuala Sepetang.

Artikel Berkaitan:

"Taiping dipilih menjadi lokasi penganjuran disebabkan Kuala Sepetang di sini merupakan tempat menetap pertama keluarga Hussin Ma.

"Kita mahu generasi baharu yang ada ini tahu bahawa tujuh moyang mereka adalah merupakan rumpun yang sama iaitu anak-anak kepada Husin Ma," katanya.

Berdasarkan salasilah yang dibentangkan, Hussin Ma mempunyai tujuh anak iaitu Tok Wa Hassan (1895), Tok Ngah Kalsom (1896), Tok Lang Rajmah (1897), Tok Jang Che Ah (1899), Tok Andak Mohamad (1900), Tok Cik Md Ariffin (1908) dan Tok Su Hanafiah (1909).

Keturunan Tok Jang Che Ah, Norizam Nazlan, 48, sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer dari Melaka ke Taiping semata-mata mahu mengenali salasilah ahli keluarganya.

"Kesempatan yang ada ini tidak akan disia-siakan kerana julung kalinya kami semua bersua muka.

"Saya amat berharap anak-anak saya dapat meneruskan dan menjaga hubungan kekeluargaan ini dengan baik," katanya.