Tindakan kepimpinan Sabah tak jejaskan Bersatu - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

TASEK GELUGOR - Pengunduran kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah pada Sabtu tidak menjejaskan parti itu terutama di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang masalah di Sabah, namun pihaknya menghormati keputusan yang dibuat bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurutnya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee akan membina semula parti dan membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat dengan segera.

"Di Sabah tidak ada apa-apa masalah tetapi tiba-tiba hendak keluar, kalau Hajiji hendak keluar dan bawa beberapa orang pengikutnya tidak mengapa.

"Kita akan susun balik parti, Datuk Seri Faizal Azumu akan ketuai pasukan daripada MKT parti bersama Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran akan menjalankan tanggungjawab bagi memastikan parti bergerak dengan lebih baik," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, meskipun menerima keputusan dibuat, namun beliau melihat tindakan yang diambil itu seolah-olah menjual prinsip perjuangan parti sekiranya tindakan yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan jawatan.

Sementara itu, ditanya kenyataan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking yang mempersoalkan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah susulan tindakan beberapa pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu, Wan Saiful berkata, pihaknya akan meneliti perkara berkenaan terlebih dahulu selepas ini.

"Saya difahamkan Leiking mencadangkan usul undi percaya dibuat dengan segera, waktu yang sama Darell timbulkan persoalan mengenai status mereka yang bertanding atas tiket ahli Bersatu dan mereka yang keluar daripada parti, ada empat orang yang menang dalam PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Jadi persoalan yang timbul adakah akan membabitkan akta anti lompat parti ini, persoalan telah ditimbulkan. Saya tak sempat hendak tengok kesannya dari segi undang-undang tapi persoalan itu telah ditimbulkan pemimpin Warisan," katanya.

Pada Sabtu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Bersatu Sabah lumpuh apabila semua wakil rakyatnya keluar parti.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Tambah Hajiji, pada masa ini wakil rakyat akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo.