Bersatu Sabah boleh 'tutup kedai' - Mohd Puad

Mohd Puad dan kenyataan yang dimuat naik beliau di Facebooknya pada Ahad.
Mohd Puad dan kenyataan yang dimuat naik beliau di Facebooknya pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dijangka 'tutup kedai' susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan keluar parti itu pada Sabtu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, parti itu tiada akar umbi malah akar umbi juga berasal dari UMNO yang 'lompat parti'.

"Bila UMNO hilang kuasa di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah melompat masuk Bersatu. Tinggal tiga orang istiqamah iaitu Bung Mokhtar, Yaakub Khan dan Ramie Unggi.

"21 Bahagian itu dipangku oleh mereka yang baru termasuk dua wanita. Apakah UMNO Sabah mati? UMNO Sabah bangkit semula dan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Itu maknanya UMNO Sabah berakar umbi. Sekarang giliran Bersatu. Semua keluar Bersatu dan akan tubuh parti baru. Akan ada lagikah Bersatu di Sabah?" katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Dakwa Mohd Puad lagi, tanpa kuasa di peringkat kerajaan negeri di Sabah, Bersatu di situ boleh 'tutup kedai'.

"Bersatu tidak ada akar umbi. Akar umbi parti itu berasal dari UMNO yang lompat parti. Tanpa kuasa di kerajaan negeri, Bersatu bolehlah tutup kedai di Sabah," katanya.

Sebelum itu, kepimpinan Bersatu Sabah mengumumkan keluar daripada parti itu pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor selepas mengambil pertimbangan keadaan landskap politik negara ketika ini.