Keluarga kandung kanak-kanak enam tahun dicari

Nur Maisarah dan Awazman memohon keluarga kandung Aisy Dayyan Riqzi tampil untuk memudahkan urusan mereka bagi mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak itu.
Nur Maisarah dan Awazman memohon keluarga kandung Aisy Dayyan Riqzi tampil untuk memudahkan urusan mereka bagi mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak itu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sepasang suami isteri sedang mencari keluarga kandung kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipelihara sejak kecil bagi memudahkan urusan mereka bagi mendapatkan hak penjagaan.

Menurut Nur Maisarah Ishak, 33, dia menjaga Aisy Dayyan Riqzi selepas diserahkan seorang lelaki dipercayai bapa kandung bayi itu yang hanya dikenali dengan panggilan 'Bob' di sebuah butik di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2016.

Katanya, pada mulanya, lelaki terbabit meminta bantuannya untuk menjaga bayi lelaki itu yang dipercayai baru dilahirkan ketika itu.

Saya diminta menjagakan anak itu kerana dia mempunyai masalah peribadi dan mahu meminjam wang daripada saya yang mungkin untuk bayar kos isterinya baru bersalin atau sebaliknya.

"Selepas itu, dia serahkan bayi itu kepada saya dan terus beredar dari situ selain berjanji akan datang semula bertemu saya namun selepas seminggu dia tetap tidak muncul," katanya ketika ditemui di Jalan Stadium, pada Ahad.

Nur Maisarah berkata, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk menjaga bayi itu walaupun Bob tidak memberi sebarang dokumen berkaitan bayi lelaki itu.

Menurutnya, dia dan suaminya, Awazman Abdul Wahab, 43, berharap waris atau keluarga kanak-kanak lelaki itu tampil untuk berbincang mengenai perkara itu memandangkan usia Aisy makin meningkat.

Tambahnya, sehingga kini, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen kelahiran yang sah berkaitan Aisy.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, dia pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Siti Zaharah Sulaiman berkata, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) kini dalam usaha untuk mengesan ibu kandung, waris atau pihak yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak itu yang ditinggalkan dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) sejak 31 Ogos 2016.

"Justeru, tujuan siaran media ini disebabkan pihak Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di Alor Setar memberi kebenaran Pengecualian Sekatan ke atas laporan dan penyiaran media di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan) 2016.

"Kes ini dirujuk di bawah Perenggan 17 (1) (E) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016 kerana didapati tidak mempunyai ibu bapa kandung atau penjaga yang sah," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, ibu bapa kandung atau waris atau sesiapa saja yang mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak itu dimohon supaya menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar iaitu Mohd Sabri Saad di talian 04-7202370 atau 04-7202352.