MQT2.0 tampil pendekatan baharu

Musim kedua My #QuranTime akan kembali pada 14 Disember ini.
Musim kedua My #QuranTime akan kembali pada 14 Disember ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Program My #QuranTime 2.0 (MQT2.0) menampilkan pendekatan baharu dalam pengisian kandungan pengajiannya bagi membantu penonton mendekati al-Quran dengan lebih mendalam.

Qari, Tarmizi Abdul Rahman berkata, berbeza dengan musim pertama, pengajian kali ini akan membabitkan sesi interaksi secara bersemuka melalui segmen khas tajwid bersama peserta yang hadir secara fizikal.

“Sebelum ini kita hanya berinteraksi dengan Sahabah Al-Quran di Facebook dan kami hanya berinteraksi di alam maya. Tapi kali ini penekanan kita dalam segmen tajwid lebih mendalam dalam satu segmen khas,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Program MQT akan mengekalkan peneraju, Fazrul Ismail sebagai pentadabbur dan Tarmizi serta Ahmad Tirmizi Ali sebagai qari dengan pentadabbur serta qari jemputan akan mengisi slot ulang kaji.

Musim kedua MQT yang akan kembali pada 14 Disember ini bakal bersiaran selama 2,111 episod dan boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi My #QuranTime dan Sinar Harian antaranya Facebook, YouTube, Twitter serta TikTok.

Tarmizi berkata, elemen tambahan yang turut dimasukkan dalam MQT2.0 adalah pengenalan segmen bahagian hafazan.

“Sebelum ini kita hanya baca. Tapi kali ini ada segmen hafazan kepada peserta yang hadir.

“Jadi selepas kita belajar tajwid dan kemudian dimasukkan pula hafazan, sebenarnya ia akan lebih mengukuhkan lagi tahap pengajian penonton,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tarmizi menjelaskan, pendekatan pengajian tersebut juga sesuai untuk pelbagai lapisan umur daripada orang dewasa sehingga pelajar sekolah.

Menurut beliau, perancangan juga sedang dilakukan untuk menjemput pelajar dari sekolah atau universiti untuk hadir sebagai peserta fizikal pada program MQT yang dijalankan di studio di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

“Jadi kita harap nanti pihak terlibat dapat mengaturkan kerana kita nak menerapkan elemen tajwid dan bacaan yang baik bermula daripada anak-anak-anak kita.

“Kita nak latih juga anak-anak kita untuk cuba hafal satu ayat, maksudnya kalau dalam satu halaman itu ada tiga bahagian, jadi sekurang-kurangnya anak-anak kita atau penonton yang hadir dapat menghafal tiga ayat untuk satu muka surat juga cukup untuk permulaan,” jelasnya.