Kerajaan negeri Sabah sasar sektor industri sumbang 35 peratus KDNK menjelang 2030

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah komited membangunkan sektor perindustrian dengan menyasarkan sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 35 peratus menjelang 2030.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata dalam usaha mencapai sasaran itu, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk membangunkan taman perindustrian baharu dengan model perniagaan yang kondusif untuk pelaburan.

"Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan lagi usaha untuk membangunkan jaringan jalan raya yang lebih baik, menyediakan prasarana dan bekalan utiliti yang mencukupi," katanya ketika menjawab soalan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Menteri Perindustrian dan Perdagangan itu berkata usaha untuk mempromosi peluang pelaburan juga akan ditingkatkan, terutama dalam aktiviti hiliran bernilai tinggi, khususnya dalam industri hiliran minyak dan gas di SOGIP, perkayuan di hab perabot, Sandakan serta kelapa sawit di Lahad Datu.

Selain itu, penyediaan pelan induk perindustrian baharu juga dibuat bagi menggariskan pelan tindakan strategik agar mekanisme penyelarasan lebih mantap dalam melaksanakan dasar industrialisasi kerajaan.

"Kerajaan akan meningkatkan lagi usaha untuk menggalakkan pemprosesan hiliran, bukan sahaja menjana pendapatan kepada kerajaan dalam bentuk cukai, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: