Dana judi: Pemuda Pas Kedah minta polis siasat Anwar

Nurul Amin bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Alor Setar pada malam Jumaat.
Nurul Amin bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Alor Setar pada malam Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah meminta siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung fitnah kononnya Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana judi untuk membiayai kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pas Kedah merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, dakwaan Anwar yang dibuat ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet adalah cubaan menimbulkan persepsi buruk terhadap blok politik itu.

Beliau berkata, tuduhan PN menerima dana daripada perjudian berkenaan bukan sahaja tidak wajar, malah tidak berasas dan bersifat fitnah semata-mata.

“Pas telah meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti dan sehingga ke hari ini tidak ada bukti diberikan beliau.

“Jadi, saya membuat laporan polis supaya beliau disiasat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap kami, ahli Parlimen PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar di sini pada malam Jumaat.

Nurul Amin berkata, beliau sebagai calon bertanding pada pilihan raya itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa dana yang diterima ni adalah dana daripada syarikat judi.

“Jadi kami minta pihak berkuasa seperti polis untuk menyiasat Perdana Menteri kerana telah melakukan jenayah fitnah dan diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan dengan membuka kertas siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Amin menyifatkan tuduhan dilemparkan tidak sepatutnya dilakukan seorang pemimpin yang bergelar Perdana Menteri dengan menyerang pihak lawan pada satu sidang akhbar untuk menimbulkan persepsi tidak berasas.

Artikel Berkaitan: