Dana judi: DUPP sifatkan dakwaan Anwar dangkal, jauh meleset

Ahmad - Foto Facebook Ustaz Ahmad Yahaya
Ahmad - Foto Facebook Ustaz Ahmad Yahaya
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dana pilihan raya daripada syarikat judi itu sebagai dangkal dan jauh meleset.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya turut mempersoalkan bagaimana Anwar menjustifikasikan dakwaannya sekadar ‘membayangkan’ wujud penerimaan dana tersebut dan bukan berdasarkan bukti yang jelas serta nyata.

“Usah jadikan kerajaan tempang yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai Kerajaan Pak Pandir.

“Komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan negeri Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023.

“Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?” soalnya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Menurutnya, Kementerian Kewangan juga mendapati ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Ulas Ahmad, DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN dan Pas untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Anwar atas dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, persoalan paling mustahak adalah penerimaan dana asing oleh Pakatan Harapan (PH) yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini.

“Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU14 yang lalu.

“Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya,” ujarnya.