Dua lelaki, seorang wanita ditahan terlibat dalam pergaduhan

Tok Beng Yeow
Tok Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Polis menahan dua lelaki serta seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan bersenjatakan parang di tepi jalan Scientex Jaya, Taman Scientex Senai di sini, pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow, seorang wanita berusia 23 tahun dan seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Taman Aman Senai, manakala seorang lagi lelaki berusia 34 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan Senai.

“Pada Khamis, pihak IPD Kulai menerima panggilan MERS 999 pada 7.50 malam yang memaklumkan mengenai kejadian pergaduhan bersenjatakan parang di tepi jalan Scientex Jaya, Taman Scientex, Senai.

“Dalam kejadian (pergaduhan) itu, mangsa, mengalami kecederaan dipercayai akibat ditetak di bahagian kepala, bahu, kedua-dua belah tangan.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), bagi menerima rawatan lanjut. Berdasarkan laporan, keadaan mangsa adalah stabil,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Menurut Beng Yeow, berdasarkan panggilan yang diterima, suspek dalam kejadian berkenaan dipercayai menaiki kereta jenis Honda Accord berwarna putih.

Katanya, hasil laporan pertama (FIR), serta hebahan, polis kemudiannya berjaya menahan dua suspek dalam kejadian berkenaan di sebuah stesen minyak di Taman Aman, Senai, sekitar 3.40 pagi.

“Hasil hebahan, polis kemudiannya menemui kereta berkenaan yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun di sebuah stesen minyak di Taman Aman, Senai dan hasil pemeriksaan, polis turut menemui sebilah parang dalam kereta tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang datang ke stesen minyak berkenaan dengan sebuah kereta Honda Accord berwarna putih dan kedua-dua suspek ini dibawa ke IPD Kulai bagi siasatan lanjut.

“Polis kemudiannya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 34 tahun di sebuah rumah di Senai dan hasil semakan rekod lampau, didapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Polis turut merampas sebilah lagi parang, rangkai kunci kereta, dua kereta jenis Honda Accord, dua helai kemeja-T dan dua helai seluar jean bagi membantu siasatan kes,” katanya.

Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat.