KPDN serbu premis jual barangan jenama tiruan

Pegawai KPDN menunjukkan barangan yang menggunakan cap dagangan palsu.
Pegawai KPDN menunjukkan barangan yang menggunakan cap dagangan palsu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan jenama tiruan di sebuah premis di Kampung Kastam, Gelugor pada Khamis.

Pengarahnya, R.S Jegan berkata, serbuan yang dilakukan jam 12.28 tengah hari itu hasil daripada aduan yang diterima melalui JasDev Chambers.

Menurutnya, sepasukan anggota penguat kuasa dan wakil pemilik cap dagangan ke premis terbabit sebelum menemui barang-barang yang cap dagangan dipakai dengan salah iaitu jenama Calvin Klein (CK) dan Louis Vuitton (LV).

"Dalam serbuan itu kita merampas 215 helai baju t-shirt jenama CK, 28 unit topi jenama CK, 36 buah beg jenama CK.

"Turut dirampas tiga helai baju jenama LV, 15 unit beg LV, 18 tali pinggang LV dan 16 pasang sandal jenama sama yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4,180,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Jegan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, KPDN juga mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.