KPDN lantik 5 pemborong Pulau Pinang bekal gula kepada peruncit

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melantik lima pemborong utama di seluruh negeri itu bagi mengatasi masalah gangguan bekalan gula yang melanda sejak beberapa hari lepas.

Pengarahnya, S Jegan berkata, pemborong berkenaan akan menjadi pengantara KPDN Pulau Pinang dengan peruncit supaya pembekalan gula dapat ditangani dengan lebih berkesan.

"Kami telah melantik pemborong-pemborong utama ini bermula semalam dan setiap pemborong berada di setiap daerah di negeri ini, mereka yang dilantik akan mendapat 30 peratus gula tambahan daripada pengilang dalam pelan tindakan yang dilaksanakan ini.

"Menerusi pelan tindakan Dedicated Direct Wholesaler (DDW) yang dilancarkan semalam itu, peniaga yang tiada bekalan gula untuk dijual boleh terus menghubungi KPDN Pulau Pinang untuk kami aturkan penghantaran ke kedai mereka atau terus kepada pemborong untuk mendapatkan bekalan gula," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati gangguan bekalan gula di negeri ini disebabkan pembelian panik terutama dalam kalangan peniaga yang membeli dalam kuantiti banyak kerana takut gula tiada untuk keperluan perniagaan mereka.

Jegan berkata, sepanjang Mei hingga hari ini, jumlah pengedaran gula di seluruh Pulau Pinang adalah sebanyak 628.4 tan dan ia sepatutnya mencukupi untuk bekalan di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan terdapat beberapa premis perniagaan di Little India menjual gula pada harga RM4.60 bagi setiap kilogram berikutan kekurangan bekalan gula kerana pemeriksaan pihaknya mendapati peniaga mematuhi harga yang ditetapkan RM2.85 setiap kilogram dan turut mempunyai stok gula.

"Sehingga semalam, kita telah bantu lapan peruncit yang menghubungi pejabat kami untuk mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik oleh KPDN Pulau Pinang," katanya.

Beliau meminta mana-mana peruncit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan gula agar menghubungi talian pejabat KPDN Pulau Pinang 04-3840154/155/158 dan seterusnya Unit Bekalan akan memaklumkan kaedah dan lokasi untuk mendapatkan bekalan gula daripada pemborong dilantik. - Bernama