Guna TikTok, tawar rawatan gigi haram di rumah

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyerbu sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya pada Khamis dan menahan tiga lelaki Indonesia kerana menawarkan rawatan gigi secara haram
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyerbu sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya pada Khamis dan menahan tiga lelaki Indonesia kerana menawarkan rawatan gigi secara haram
A
A
A

PETALING JAYA - Rawatan pergigian oleh 'doktor' warga Indonesia secara haram di sebuah rumah di Sungai Way di sini, dibongkar pihak berkuasa pada Khamis.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan Kesihatan Pergigian) Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr Izwan Abd Hamid berkata, serbuan pada jam 12.10 tengah hari itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurutnya, operasi khas itu berjaya menahan tiga lelaki Indonesia yang disyaki menjalankan dan menawarkan rawatan pergigian di premis tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Siasatan awal mendapati kegiatan itu telah beroperasi sejak tahun lalu.

"Suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial TikTok dengan tawaran harga sekitar RM100 hingga RM1,400 bergantung perkhidmatan yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dr Izwan berkata, pihaknya turut mengesan penggunaan 'Dental Clinic' di dinding rumah berkenaan dan itu adalah dianggap satu penyamaran.

Sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya diserbu kerana menjalankan dan menawarkan rawatan pergigian di premis tidak berdaftar dengan KKM.
Sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya diserbu kerana menjalankan dan menawarkan rawatan pergigian di premis tidak berdaftar dengan KKM.

Katanya, soal siasat mendapati kira-kira lapan pelanggan hadir ke rumah suspek dalam tempoh seminggu untuk mendapatkan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

"Seorang daripada suspek juga menawarkan khidmat datang ke rumah pelanggan selain sekali perkhidmatan di Johor dan Pulau Pinang setiap sebulan," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun itu kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) 1998 kerana menyediakan klinik pergigian tanpa pendaftaran selain Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 kerana menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berdaftar.

"Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 63(1)(e) Akta Pergigian 2018 iaitu secara palsu menyamar sebagai pengamal," ujarnya.

Tambahnya, pihak imigresen turut mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga suspek kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.