[VIDEO] Annuar Musa, dua pemimpin wanita sah dipecat UMNO

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa antara tiga pemimpin parti yang dipecat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.

Selain Annuar, dua lagi yang dipecat ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemecatan tersebut dibuat mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO.

"UMNO mempunyai hak untuk melucutkan keahlian ahlinya, sekiranya mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO serta perkara mengenai tata etika ahli.

"Pemecatan Annuar, Shamsiah dan Fatimah berkuat kuasa serta-merta. Surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini," katanya," katanya pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Khatan Perdana di Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn selepas mesyuarat MKT UMNO memaklumkan hal pemecatan itu.

Mohd Puad yang enggan mendedahkan nama tiga pemimpin itu menjelaskan pemecatan tersebut dibuat kerana mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Arau dan Maran daripada UMNO, Shahidan Kassim dan Ismail Abd Muttalib, turut digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu akhirnya mempertahankan kerusi mereka selepas bertanding pada PRU15 menggunakan logo Perikatan Nasional.