Annuar Musa sertai Pas, KJ dijangka bersama PN - Takiyuddin

Takiyuddin (kiri) ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, Kota Bharu pada Isnin.
Takiyuddin (kiri) ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan bersama parti itu.

"Insya-ALLAH bersama Pas, beliau telah memaklumkan keputusan tersebut pada awal Ramadan lagi dan kami (Pas Pusat) tidak ada halangan untuk pertimbangkannya.

"Sama ada Annuar Musa bertanding atau tidak pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, itu proses kedua," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Badaraya Islam (MPKB-BRI) di sini pada Isnin.

Perkhabaran itu sekali gus mengesahkan hala tuju bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut dalam arena politik.

Annuar merupakan 'figura' politik yang cukup besar di negeri ini dan penyertaan itu akan memberikan impak kepada Pas untuk terus melebarkan penguasaan di Kelantan pada PRN nanti.

Mengulas mengenai Khairy Jamaluddin, Takiyuddin memberitahu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memberi respon tetapi tidak secara spesifik.

Ujarnya, Khairy sudah pasti tidak akan bersama Barisan Nasional (BN), UMNO mahupun Pakatan Harapan (PH) dan pilihan terbaik ketika ini adalah Perikatan Nasional (PN).

"Saya jangka beliau akan bersama dengan kita di Selangor atau Negeri Sembilan.

"KJ bersama dengan kita ada dua konteks, satunya menyertai mana-mana parti sama ada Pas, Bersatu atau pun untuk makluman, PN ada direct member, hendak jadi ahli PN pun boleh.

"Ia dipanggil ahli bersekutu, mana-mana warganegara Malaysia yang tidak menjadi ahli mana-mana parti boleh memohon jadi ahli PN dan boleh diluluskan oleh Majlis Tertinggi. Ia mudah sahaja, jadi beliau tidak perlu masuk mana-mana parti lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, pihaknya sudah menerima lebih 20 pelawaan dari bekas-bekas pemimpin UMNO untuk bersama-sama dengan PN.