Annuar Musa dipecat daripada UMNO?

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijalankan pada malam Khamis mencetuskan tanda tanya selepas tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan parti itu mengenai keputusan dicapai dalam perjumpaan tersebut.

Namun begitu, beberapa media yang memetik sumber parti melaporkan antara ketetapan dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah pemecatan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Dipercayai turut menerima nasib sama ialah Ketua Wanita UMNO Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim juga dipecat.

Shamsiah merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim manakala Fatimah Kassim merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Kedua-dua ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan tiga pemimpin UMNO dipecat keahlian kerana mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika PRU15.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, selepas selesai menghadiri mesyuarat MKT pada Khamis.

Mohd Puad bagaimanapun tidak memberitahu nama yang terlibat, namun menjelaskan pemecatan tersebut melibatkan seorang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh pada pagi Jumaat memberikan mesej tersirat di hantaran Facebooknya dipercayai ditujukan kepada UMNO.

Bekas Setiausaha Agung BN itu berkata, beliau kini hanya mampu melihat sebuah rumah pusaka yang terbakar.