Bookie judi ditahan bersama 96kg dadah

Mohd Yusri (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan disyaki berisi dadah jenis methamphetamine yang dirampas di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh pada Jumaat.
Mohd Yusri (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan disyaki berisi dadah jenis methamphetamine yang dirampas di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya memberkas seorang pengedar dadah yang didapati menyimpan kira-kira 96.02 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di rumah sewanya di Jalan Medan Ipoh di sini dalam satu operasi pada 7 Disember lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi itu, suspek yang bekerja sebagai bookie judi haram ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perak kira-kira jam 1.40 petang.

Menurutnya, susulan tangkapan tersebut membawa kepada penemuan 95 bungkusan plastik berwarna hijau dan kuning tertera jenama teh herba berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.

"Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di kawasan Ipoh dan Lembah Klang. Jumlah dadah berkenaan boleh digunakan untuk 120,000 orang penagih dadah.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM3.45 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Yusri berkata, pihak polis percaya bekalan dadah tersebut diperoleh dari kawasan utara Perak.

Menurutnya, suspek berusia 37 tahun itu juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, bagaimanapun ujian saringan awal air kencing yang dijalankan negatif.

Jelasnya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 11 Disember bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dengan sindiket atau sebagainya. Perintah reman telah pun diperoleh daripada mahkamah.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati," katanya.