Khuzaimi tak sangka dalam senarai akhir

Khuzaimi (kiri) antara tiga calon bagi merebut gelaran 'Pertahanan Terbaik' pada ABK22. - Foto FB FAM
Khuzaimi (kiri) antara tiga calon bagi merebut gelaran 'Pertahanan Terbaik' pada ABK22. - Foto FB FAM
A
A
A

BEKAS pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee sama sekali tidak menyangka dapat tercalon bagi merebut gelaran 'Pertahanan Terbaik' pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) pada15 Disember ini.

Khuzaimi akan bersaing sengit dengan dua lagi calon dari Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Shahrul Saad dan La'Vere Corbin-Ong yang mana ini adalah kali pertama pemain berasal dari Melaka itu mendapat pencalonan tiga terbaik.

Walaupun menyifatkan tahun 2022 sebagai musim terbaik dalam kariernya, Khuzaimi mengakui peluangnya agak sukar berbanding dua lagi pencabarnya memandangkan mereka membantu JDT melengkapkan misi 'quadruple' dengan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

"Tidak sangka sebenarnya boleh tercalon tiga terbaik sebab sebelum ini rasanya ramai lagi yang hebat tetapi sekarang saya macam tidak percaya.

"Paling penting saya nak ucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan Negeri Sembilan dan pemain-pemain sebab beri saya peluang beraksi dan tahun ini memang rasa puas sangat," katanya.

Justeru, pemain berusia 29 tahun itu berharap pencalonan diterimanya bagi anugerah tersebut mampu menyuntik semangatnya untuk terus memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan disertainya selepas ini.

ABK22 yang akan berlangsung secara maya pada jam 9 malam akan menyaksikan sebanyak 16 kategori dipertandingkan antaranya Penjaga Gol Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Artikel Berkaitan: