Pelajar kolej antara empat ahli sindiket dadah diberkas

Arjunaidi (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas menerusi serbuan berasingan di Putrajaya pada Isnin dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Khamis.
Arjunaidi (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas menerusi serbuan berasingan di Putrajaya pada Isnin dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelajar kolej swasta antara empat lelaki ditahan dalam serbuan serta rampasan melibatkan dadah jenis syabu bernilai RM13.26 juta di kawasan parkir sebuah pasar raya dan sebuah unit kondominium di Putrajaya di sini pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek diberkas menerusi serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kira-kira jam 1.40 petang.

Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di kawasan parkir sebuah pasar raya itu, empat suspek berumur antara 22 hingga 37 tahun diberkas.

"Ketika serbuan, suspek sedang memindahkan dadah di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire.

"Namun, kehadiran pihak polis sekali gus menggagalkan urusan tersebut dan merampas 350 bungkusan plastik teh Cina mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 355.75 kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.

Katanya, susulan itu serbuan kedua dijalankan di sebuah unit kondominium di Putrajaya.

"Serbuan kedua merampas 23 bungkusan terdiri daripada 22 bungkusan plastik hijau bertulis teh ciba dan satu plastik lutsinar.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua bungkusan ini mengandungi dadah jenis syabu dengan berat 23.09 kilogram yang ditemui dalam sebuah bilik unit kondominium itu ketika serbuan dijalankan," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 394 dan 395/170 Kanun Keseksaan.

"Saringan awal dijalankan mendapati dua suspek positif dadah jenis THC dan Opiate," katanya.

Ujar Arjunaidi, kesemua dadah ini dipercayai dari negara jiran.

"Setakat ini kita masih menyiasat dalang yang terlibat di sebalik rampasan dan tangkapan dadah ini, dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Rampasan dadah keseluruhan melibatkan sebanyak 373 bungkusan terdiri 372 bungkusan teh Cina dan satu bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 378.84 kilogram," katanya.

Jelas beliau, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan tiga kenderaan dan beberapa barangan dirampas.

"Antara dirampas melibatkan dua kenderaan jenis Nissan Navara dan sebuah kenderaan jenis Honda CRV dianggarkan bernilai RM230,000.

"Selain itu, tindakan diambil melibatkan satu akaun bank dengan simpanan RM10,004 dan seutas jam tangan berjenama bernilai RM500," katanya.

Arjunaidi berkata kesemua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.