MAINPP bertemu individu terlibat larangan ceramah agama

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin
A
A
A

BAYAN LEPAS - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan mengadakan pertemuan dengan beberapa individu termasuk penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias berhubung larangan 16 individu untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, pertemuan itu akan diadakan di pejabatnya pada Isnin minggu depan.

Menurutnya, pertemuan itu diaturkan selepas pihaknya menerima surat daripada beberapa individu tersebut pada awal November lalu.

Menurut surat yang dikeluarkan oleh enam individu iaitu Mohd Kazim, Datuk Ahmad Husam Syeikh Muhammad Baderuddin, Subri Arshad, Shahir Long, Aiman Subri dan Ahmad Dasuki Abdul Rani itu, mereka memohon untuk mengadakan pertemuan mahabbah untuk meredakan serta menyelesaikan isu-isu berbangkit.

"Memang benar saya ada menerima surat yang menyatakan hasrat beberapa individu termasuk Mohd Kazim untuk berbincang mengenai larangan mengadakan ceramah, khutbah atau majlis ilmu yang dikeluarkan terhadap mereka kerana tiada tauliah.

"Perbincangan itu juga nanti akan kita terangkan mengapa larangan tersebut dibuat terhadap mereka. Saya difahamkan, ada daripada 16 individu tersebut sudah memohon (tauliah) dan sudah dapat pun.

"Kita akan beritahu juga kepada mereka perkara ini bahawa mereka bukan disenaraihitamkan, cuma dilarang kerana tiada tauliah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama dan Al-Quran Pulau Pinang 2022 di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, kesemua 16 individu yang disenarai tersebut boleh memohon kelulusan tauliah daripada MAINPP sekiranya mahu mengadakan kuliah agama secara berterusan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Mengadakan kuliah, ceramah atau majlis agama tanpa tauliah adalah satu pelanggaran peraturan yang serius. Peraturan ini bukan sahaja di Pulau Pinang malah semua negeri ada.

"Sistem tauliah ni kena ada, sesetangah ustaz tidak mahu ambil (mohon). Jadi hormat lah. Sistem kuliah ini adalah sistem kawalan. Jika tiada kawalan, siapa-siapa pun boleh bagi tauliah," katanya.

Beliau berkata, larangan yang dikeluarkan itu adalah salah satu usaha MAINPP dalam memperkemaskan sistem kuliah sedia ada.

"Kita keluarkan larangan ini adalah bertujuan untuk memperkemaskan sistem sahaja, bukan nak sekat siapa-siapa untuk beri kuliah atau ceramah.

"Kawal bukan bermakna tidak benarkan, cuma minta mereka mohon pentauliahan yang mengandungi beberapa syarat selain perlu ditemuduga. Ini lah beberapa perkara yang akan saya kongsi dalam pertemuan pada Isnin nanti," katanya.

Sebelum ini, MAINPP menamakan 16 individu yang dilarang untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Mereka adalah Datuk Kazim Elias, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.

Ahmad Zakiyuddin berkata, satu pekeliling bertarikh 4 November 2022 telah dikeluarkan dengan menyenaraikan kesemua individu tersebut selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.