Perak ambil serius ancaman ikan asing

A
A
A

TELUK INTAN - Kerajaan negeri Perak memandang serius ancaman ikan asing yang mengganggu habitat spesies ikan asli di perairan umum seperti sungai dan tasik di negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, usaha bagi menyekat dan mengurangkan kehadiran ikan seperti baung ekor merah, keli afrika dan sebagainya telah dilakukan Jabatan Perikanan serta lain-lain agensi.

Menurutnya, kawalan tersebut amat penting dalam memastikan pendapatan nelayan darat di negeri ini tidak terjejas.

"Jadi langkah-langkah ini telah pun diambil Jabatan Perikanan dan lain-lain jabatan serta agensi bagi menyekat, mengurangkan ataupun mengambil tindakan yang bersesuaian dengan akta, undang-undang dan sebagainya supaya pembuangan ataupun pelepasan ikan-ikan ini dapat dikawal, disekat.

"Tindakan ini penting supaya menjamin ikan-ikan asli yang ada di perairan umum di Perak ini terjamin sekali gus akan memberikan pendapatan konsisten kepada nelayan darat," katanya kepada pemberita selepas Program Perasmian Jeti Nelayan Darat Sungai Kerawai, Teluk Intan dan Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records Sempena Kejayaan Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang di Perairan Umum Negeri Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Noraishah Hashim.

Mohd Zolkafly berkata, walaupun belum ada sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana individu atau pengusaha kolam yang melepaskan ikan-ikan asing berkenaan, ia tidak bermaksud kerajaan negeri lepas tangan dalam menangani masalah itu.

Sementara itu, beliau memuji usaha Jabatan Perikanan Negeri Perak yang telah melepaskan sebanyak 4.1 juta ekor benih ikan air tawar asli dan udang galah sepanjang tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejayaan itu juga membolehkan Jabatan Perikanan Negeri Perak mencatat nama di dalam Malaysia Book of Records atas usaha penganjuran Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan umum seluruh negeri Perak.

Mengenai jeti nelayan darat Sungai Kerawai di sini, Mohd Zolkafly berkata, pembinaannya menelan kos RM200,000 untuk memberi kemudahan kepada nelayan darat mendaratkan ikan serta menambat sampan atau bot mereka supaya berada dalam keadaan selamat.

Katanya, dengan adanya jeti berkenaan seramai 60 nelayan darat berhampiran dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.