1,868 guru agama, al-Quran terima sagu hati dari ZPP

Ahmad Zakiyuddin (tengah) menyempurnakan Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama dan Al-Quran Pulau Pinang 2022 pada Khamis.
Ahmad Zakiyuddin (tengah) menyempurnakan Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama dan Al-Quran Pulau Pinang 2022 pada Khamis.
A
A
A
BAYAN LEPAS - Seramai 1,868 guru agama dan guru al-Quran di Pulau Pinang menerima sagu hati dalam bentuk wang tunai oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, pemberian sagu hati tersebut melibatkan 1,368 guru al-Quran yang akan menerima RM600 dan 499 guru agama akan menerima RM800 setiap seorang.

Menurutnya, kesemua wang tersebut akan dimasukkan terus ke akaun bank masing-masing yang mana, pemberian saguhati itu diberikan secara 'one off'.

"Serahan sagu hati guru agama dan guru al-Quran yang disediakan oleh Zakat Pulau Pinang adalah melalui dana bantuan agihan fi sabilillah. Ia melibatkan nilai keseluruhan RM1.22 juta.

"Pemberian setiap tahun ini adalah bagi menghargai dan meraikan guru-guru agama dan al-Quran yang mengajar secara sukarela di masjid, surau dan institusi khas di seluruh negeri Pulau Pinang.

"Oleh itu, pemberian sagu hati ini diharapkan dapat memberikan suntikan semangat dalam urusan pendidikan agama dan al-Quran demi memartabatkan syariat Islam dan pembinaan jati insan serta dapat menjalinkan kerjasama dan merapatkan ukhuwah antara guru agama dan al-Quran dengan ZPP," katanya selepas Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama dan Al-Quran Pulau Pinang 2022 di sini pada Khamis.

Kata Amran, pengesahan dan pencalonan guru agama dan guru al-Quran dibuat oleh pengerusi kariah sebelum diteliti oleh ZPP sebelum pemberian saguhati dilaksanakan.

"Jumlah wang yang diberi mengikut kemampuan ZPP yang mana, jumlah penerima tahun lalu, lebih kurang sama sahaja dengan tahun ini. Program ini merupakan sebahagian aktiviti yang dijalankan dalam Program Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022.

"Secara peribadi saya sangat menghargai dan menghormati guru-guru yang mendedikasikan dirinya untuk mendidik manusia supaya celik al-Quran dan ilmu-ilmu agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pemberian saguhati itu merupakan salah satu kaedah penyampaian dakwah ZPP kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang bagi melaksanakan fardu zakat seperti yang dituntut dalam al-Quran dan sunnah.

"Matlamat utama penganjuran Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 adalah untuk menyemarakkan kesedaran berzakat kepada semua umat Islam di Pulau Pinang dan seterusnya memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat khususnya di negeri ini.

"Justeru itu, guru agama dan al-Quran ini berperanan penting dalam membantu menyumbang tenaga kepada menyemarakkan dakwah Islamiyyah di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Tambah beliau, guru agama dan al-Quran berperanan penting dalam mencorak pembentukan dan penyempurnaan akhlak seseorang individu.