'PN jangan mimpi nak tawan Pulau Pinang' - AMK

Muhammad Fadzli
Muhammad Fadzli
A
A
A

GEORGETOWN - Dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang bakal merampas sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ibarat bermimpi disiang hari.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata, pemimpin PN digesa supaya mengukur baju di badan sendiri selain menumpukan seluruh perhatian terhadap permasalahan rakyat di kawasan mereka yang mungkin akan dirampas Kerajaan Perpaduan nanti.

Beliau mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen PN di negeri ini tidak menunjukkan kesungguhan mereka dalam membantu rakyat selain lebih gemar bermain naratif dan politik daripada menjuarai isu rakyat.

"PN harus membuktikan kejayaan mereka di negeri ditadbir mereka terlebih dahulu sebelum memasang impian untuk menawan Pulau Pinang.

"Simpan cita-cita untuk menawan Pulau Pinang jika kawasan mereka sendiri pun tidak terjaga,"katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Fadzli berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) ketika ini banyak membantu rakyat dalam pelbagai isu.

Jelasnya, sejak 2009, sebanyak RM33.2 juta jumlah peruntukkan telah disalurkan bagi tujuan pembangunan agama islam.

"Jumlah peruntukkan ini ditambah saban tahun malah dalam Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2023 yang telah dibentangkan dengan peningkatan sehingga 75.08 juta terhadap pembangunan agama Islam disini.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah membina sebanyak 136,333 buah Rumah Mampu Milik sejak 2008 sehingga 2022 yang memberi banyak manfaat terhadap rakyat Pulau Pinang," ujarnya.

Beliau berkata, pembangunan yang pesat dalam sektor perkilangan dan peluang pekerjaan yang banyak ditawarkan juga merupakan antara manfaat yang dikecapi bukan hanya kepada rakyat Pulau Pinang sahaja, bahkan termasuk rakyat dari Kedah dan Kelantan yang mencari rezeki di negeri ini.

Sebagai contoh, Muhammad Fadzli berkata, Batu Kawan Industrial Park (BKIP) antara tapak pembangunan perkilangan dan perindustrian yang sedang rancak dibangunkan serta akan menawarkan ribuan peluang pekerjaan.