[VIDEO] SPR puas hati peratusan keluar undi di Padang Serai, Tioman

Abdul Ghani pada sidang akhbar selepas selesai melakukan tinjauan proses penjumlahan undi dan pengumuman pemenang kerusi Parlimen Padang Serai yang diadakan pada malam Rabu.
Abdul Ghani pada sidang akhbar selepas selesai melakukan tinjauan proses penjumlahan undi dan pengumuman pemenang kerusi Parlimen Padang Serai yang diadakan pada malam Rabu.
A
A
A

KULIM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai dah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang berlangsung pada Rabu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, bagi kerusi Padang Serai merekodkan 74.71 peratus orang keluar mengundi manakala bagi kerusi DUN Tioman pula mencatatkan 77.47 peratus.

Menurutnya, peratusan itu menggambaran bahawa masyarakat sudah mula mengambil tanggungjawab dalam melaksanakan proses demokrasi untuk memilih wakil rakyat mereka pada PRU15 kali ini.

"Saya ucap tahniah kepada semua pengundi di Padang Serai dan juga di Tioman kerana telah meletakkan diri mereka dan baik dan sempurna bagi menjayakan proses pilihan raya ini.

"Kita juga bersyukur kerana perjalanan kedua-dua pilihan raya ini juga telah berlangsung dengan tenang dan lancar ditambah dengan cuaca yang baik pada hari pengundian,"katanya pada sidang akhbar selepas selesai melakukan tinjauan proses penjumlahan undi dan pengumuman pemenang kerusi Parlimen Padang Serai yang diadakan pada malam Rabu.

Pada PRU15 yang ditangguhkan itu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin berjaya memenangi kerusi Parlimen Padang Serai manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain diumumkan memenangi DUN Tioman.

Penangguhan itu susulan kematian calon PH di Parlimen Padang Serai pada 16 November dan calon Perikatan Nasional (PN) pada 19 November.

Sementara itu Abdul Ghani berkata, pihaknya akan membuat penambah baikan proses pilihan raya di negara ini dari semasa ke semasa untuk meningkatkan lagi sistem demokrasi yang dilaksanakan pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penambahbaikan itu akan dibuat sebaik pihaknya mengadakan 'post mortem' proses PRU15 yang berlangsung baru-baru ini.

Tambah beliau, pihaknya juga berkemungkinan akan menilai semula tempoh 60 hari yang diperuntukan sebelum ini untuk melangsungkan pilihan raya selepas Parlimen dibubarkan.

Beliau berkata, tempoh berkenaan mungkin akan dipanjangkan bagi memastikan proses pilihan raya dapat dijalankan dengan selesa selepas mengambil ikhtibar dengan peningkatan daftar pemilih pada masa kini terutamanya pengundi 18 yang akan meningkat setengah juta orang pada setiap tahun.

"Pengalaman yang lepas, kita akan lihat dari segi tempoh 60 hari ini sama ada masih sesuai atau tidak untuk kita laksanakan pilihan raya sebab daftar pemilih kita telah meingkat dari 14.9 juta kepada 21.1 juta sekarang.

"Selain itu banyak persiapan yang perlu mengambil kira dari segi tempat mengundi, saluran mengundi serta jumlah petugas yang mencecah sehingga 350,000 orang pada tahun ini.

"Tempoh ini akan dipanjangkan kerana dari dahulu lagi kita lihat tempoh ini agak sempit sedikit kerana pertambahan pengundi yang banyak," katanya.

Mengikut peraturan SPR, apabila Parlimen bubar, SPR diberi masa 60 hari untuk melangsungkan pilihan raya.

Bagi memastikan persediaan dilaksanakan teratur, memaksimumkan tempoh berkenaan adalah langkah terbaik bergantung kepada keadaan.

Dalam tempoh 60 hari yang diperuntukkan sebelum berlangsungnya pilihanraya, SPR akan bermesyuarat khas untuk menentukan tarikh penamaan calon, undi awal dan hari mengundi.

Selepas mesyuarat khas, SPR akan keluar writ kepada semua Pegawai Pengurus bagi setiap bahagian pilihan raya (dalam konteks PRU, 222 Pegawai Pengurus akan diberikan writ setelah nama2 mereka diperkenankan YDP Agong.

Selepas Penamaan Calon, bermulalah tempoh berkempen selama 10 hingga 14 hari dan memudian hari mengundi.